My Add

Wednesday, 30 October 2013

Kumpulan kedua Malbatt 850-1 berlepas ke Lebanon

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

SUBANG, SELASA, 29 Oktober, 2013: Seramai 240 anggota Batalion Malaysia 850-1 (Malbatt 850-1) berlepas untuk menyertai kumpulan pertama Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) yang sudah berlepas minggu lalu.

Anggota Malbatt 850-1 itu turut disertai 12 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan dijangka akan berada di Lebanon dalam tempoh 12 bulan.

Majlis pelepasan anggota Malbatt 850-1 disempurnakan oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Abu Bakar Md. Said yang mewakili Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md. Zain.

Ketika menyampaikan amanat PAT, Abu Bakar berkata, tugas yang dilaksanakan oleh anggota Malbatt ini adalah satu kepercayaan tidak terhingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada negara.

"Untuk itu, kita perlu menjaga nama baik negara dengan menjaga tingkah laku semasa berada di negara asing.

"Kepercayaan ini jelas membuktikan bahawa tentera kita mampu memainkan peranan setanding dengan angkatan tentera negara lain dalam misi antarabangsa.

"Jadi, tuan-tuan dan puan-puan perlu menyesuaikan diri berinteraksi dengan masyarakat setempat dan mengelakkan isu-isu sensitif dan mengekalkan sifat-sifat berkecuali seiring dengan objektif utama dalam membantu memulihkan keamanan di Lebanon," kata beliau ketika membaca teks ucapan Zulkifeli di Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang hari ini.

Turut hadir Penasihat Pertahanan Brunei Darussalam, Lt. Kolonel (L) Othman Suhaily@Suhaili.

Malbatt 850-1 yang berkekuatan 540 anggota akan menggantikan pasukan Malbatt 5 yang sudah menamatkan misi pada 26 Oktober lalu.

Anggota Malbatt 5 akan kembali ke tanah air esok. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment