Dagangan Malaysia-China dijangka cecah AS$70 bilion
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 September, 2013: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjangka dagangan dua hala antara Malaysia dan China naik kira-kira lapan peratus kepada US$70 bilion menjelang akhir tahun daripada US$58.4 bilion tahun lepas.
Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Julai 2013, dagangan dua hala antara Malaysia dan China naik 6.4 peratus kepada US$35.75 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2012.
"Jika kita mengambil kira purata peratusan dagangan dua hala 9antara Malaysia dan China) semenjak 2002 kepada 2012, dalam 10 tahun, peratusannya adalah 15.7 peratus. Tetapi tahun ini, jangkaan peratusan dagangan dua hala kurang daripada purata berikutan ekonomi yang lembap di kedua-dua negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Forum Ekonomi China Dunia Kelima.
Mustapa berkata tujuan forum itu adalah untuk membangunkan ekonomi global baharu yang lebih luas dan bersepadu, dengan China sebagai rujukan, untuk berkongsi manfaat pertumbuhan serantau kepada semua.
Mustapa menambah bahawa rantau itu patut memilih satu arah pembangunan yang rendah karbon tetapi bernilai tinggi dalam penghapusan kemiskinan dan jaminan kemanusiaan.
Menyentuh tentang getah, beliau berkata dua faktor mempengaruhi eksport getah Malaysia ke China.
"Apabila kita bercakap mengenai (eksport) getah, ia bergantung kepada volum dan harga.
"Melihat kepada keadaan ekonomi semasa di China, harga getah yang semakin kukuh dan inventori domestik yang tingi di China, eksport getah kita ke sana agak rendah," kata beliau.
Malaysia merupakan salah satu pengeksport getah utama dunia sementara China adalah pembeli dan pelanggan getah utama dunia. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment