My Add

Monday, 28 October 2013

Kesal ada agensi tipu ibadat umrah
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Oktober, 2013: Orang ramai boleh menghubungi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di talian 03-62071919 untuk memeriksa sama ada sesebuah agensi pelancongan yang menguruskan jemaah umrah dan haji bertauliah serta berkelayakan atau sebaliknya.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya mempunyai senarai agensi yang berdaftar dengan Tabung Haji serta TH Travel & Services dan orang ramai boleh membuat rujukan untuk mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Kita terpanggil untuk melakukan khidmat masyarakat ini kerana sudah ada syarikat yang sanggup menipu ribuan orang berkaitan ibadat umrah dan haji, saya berharap masyarakat akan lebih berhati-hati," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Azeez mengulas mengenai sebuah agensi pelancongan yang didakwa menipu kira-kira 1,200 bakal jemaah umrah dari seluruh negara melibatkan kerugian RM4.8 juta berikutan penerbangan yang beberapa kali ditunda dan wang gagal dituntut semula.

Difahamkan, agensi pelancongan itu yang beribu pejabat dekat Setapak di sini, gagal menguruskan penerbangan jemaah umrah yang dijadualkan pada Jun lalu walaupun bayaran penuh sebanyak RM3,999 seorang sudah dibuat sejak tahun lalu.

Dalam masa sama, Abdul Azeez menggesa orang ramai yang tertipu dengan kegiatan itu membuat laporan polis segera supaya pihak tidak bertanggungjawab tersebut dapat dibawa ke muka pengadilan.

"Saya berasa amat kesal kerana syarikat itu sanggup menipu orang ramai dalam perkara berkaitan umrah, saya tidak sangka urusan ibadah pun ada orang sanggup menipu," katanya - UTUSAN. 

No comments:

Post a Comment