UMNO tetap diremajakan walaupun hanya 4 calon muda menjadi ahli MT
MUAR, AHAD, 27 Oktober, 2013: Usaha meremajakan UMNO tetap mampu dilakukan walaupun hanya empat calon muda dipilih menganggotai Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti itu 19 Oktober lalu.
Salah seorang daripadanya, Datuk Razali Ibrahim berkata, transformasi tidak hanya bergantung kepada penyertaan wakil-wakil muda tetapi barisan sedia ada sanggup menerima perubahan dan proses itu juga sudah serta sedang berlangsung ketika ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, statistik berapa ramai golongan muda menyertai MT bukan ukuran kepada pembaharuan yang sedang dilakukan tetapi semangat untuk berubah yang ditunjukkan semua pemimpin UMNO.
"Kita (calon muda) diberi peluang dan jika semuanya orang lama memang sukar (meremajakan parti).
"Dalam masa sama, kita belum lagi membuat kajian berapa ramai ketua cawangan dan bahagian yang dilantik kali ini daripada generasi muda, ini pun saya kira akan beri kesan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan di Parlimen Muar di Jeti Parit Jawa, di sini hari ini.
Beliau yang juga bekas Naib Ketua Pemuda UMNO mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya usaha mentransformasikan parti itu tidak berjaya kerana kepemimpinan MT masih dianggotai majoriti muka-muka lama. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment