Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED,
KASTHURI JEEVENDRAN dan SHEILA RANI CHANDRASEKARAN
*BARISAN kepemimpinan tertinggi Gerakan melaungkan slogan 'Satu Hati' bersama perwakilan dalam majlis penggulungan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-42 di Dewan Wawasan, Menara PGRM, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AIZZUL A. MAJID |
Malah, sehingga hari ini parti itu dianggap mempunyai imej yang boleh dibanggakan dan bersih kerana tidak pernah terpalit dengan mana-mana skandal atau isu rasuah dalam komponen BN.
Presidennya, Datuk Mah Siew Keong berkata, walaupun mengalami kekalahan teruk pada dua Pilihan Raya Umum yang lepas, namun jasa-jasa Gerakan kepada kejayaan besar terdahulu tidak seharusnya dipandang ringan.
"Gerakan akan tetap relevan sampai bila-bila, kita bukan lemah walaupun kalah pada pilihan raya lepas, masih ada ruang untuk penambahbaikan malah sehingga hari ini kita dilihat sebagai parti yang mempunyai moral tinggi.
"Menerusi slogan 'Satu Hati', kita perlu meneruskan perjuangan dan berkhidmat untuk rakyat, menyuarakan harapan dan kebimbangan serta menyokong setiap tuntutan mereka yang berasas," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-42 di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik, Menara PGRM di sini hari ini.
Siew Keong turut menyeru kepada Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya meneruskan agenda 1Malaysia yang dipercayai dapat menyatupadukan semua kaum di negara ini.
"Saya percaya dengan keupayaan Perdana Menteri kita, semangat 1Malaysia harus di tiupkan kepada seluruh rakyat agar kita dapat hidup dalam suasa aman dan damai.
"Baru-baru ini, saya kecewa dengan kenyataan seorang bekas Ketua Menteri mahu mengajar masyarakat Cina hanya kerana tidak mengundinya pada PRU lepas, saya tidak faham mengapa perlu kenyataan seperti ini yang akhirnya menghancurkan usaha BN dalam menyatukan semua kaum," ujarnya.
Dalam pada itu, Siew Keong yang baru sahaja dilantik sebagai Presiden Gerakan yang baru setelah mengalahkan pencabarnya, Teng Chang Yeow dengan kemenangan besar sebanyak 1,086 undi sudah membayangkan perubahan drastik dalam kepimpinannya.
Jelasnya, perubahan itu wajib bagi memantapkan kepimpinan dan hala tuju parti itu agar kemenangan yang lebih besar selain mengembalikan zaman gemilang Gerakan.
"Saya tahu ramai pemimpin parti tidak akan 'senang' dengan perubahan serta tindakan yang bakal di laksanakan oleh saya. Namun saya mohon kepada semua supaya bersabar dan jangan cepat membuat kesimpulan dengan tindak tanduk saya.
"Tanggungjawab ini sungguh besar dan berat untuk di galas. Jangan pertikai bagaimana saya mulakan tugasan saya sebagai Presiden parti tetapi lihatlah bagaimana saya habiskan penggal saya kelak," tegasnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment