GST tidak banyak jejaskan masyarakat luar bandar Sarawak
KANOWIT, AHAD, 27 Oktober, 2013: Penduduk luar bandar di Sarawak tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 pada Jumaat.
Menteri Pembangunan Sosial negeri Tan Sri William Mawan berkata, ini kerana pelaksanaan sistem percukaian itu tidak akan banyak memberi kesan terhadap mereka.
Beliau menyatakan perkara itu dalam majlis bertemu rakyat di rumah panjang Rh.Brian Langit di Ulu Jih, di sini malam tadi.
Bagaimanapun, katanya, pembangkang mungkin mengeksploitasi GST, yang sudah dilaksanakan di sekurang-kurangnya 168 negara sejak beberapa tahun lepas, untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.
"Apa yang dilakukan kerajaan sebenarnya adalah untuk memperkukuh kewangan negara. Apabila ada lebih banyak dana, ia boleh melaksanakan lebih banyak perkara untuk pembangunan dan kemajuan negara," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Mawan, yang juga presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), berkata seperti bajet sebelum ini, Bajet 2014 memperuntukkan banyak pemberian kepada setiap orang.
"Perkara seperti penambahan jumlah BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), bantuan pendidikan untuk pelajar yang dikekalkan, antara lain, akan menggembirakan ramai anggota masyarakat berpendapatan rendah.
"Najib mengotakan janjinya ketika mengadakan tinjauan mesra di negeri ini dulu," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, dari segi pembangunan infrastruktur berkaitan jalan raya, program bekalan tenaga elektrik dan bekalan air di kawasan luar bandar, Sarawak agak ketinggalan.
Ini kerana saiz negeri ini yang begitu luas dan penduduknya yang tinggal bertaburan di merata kawasan, memerlukan jumlah peruntukan yang besar.
Namun demikian, kata beliau, Najib telah banyak berusaha untuk menambah baik keadaan itu dan jelas sekali perdana menteri amat mengambil berat terhadap Sarawak dan Sabah seperti yang terbukti dalam bajet lepas apabila beliau menambah RM2 bilion lagi kepada peruntukan awal yang diberi kepada dua negeri itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment