Hampir 50,000 pekerja asing hidap penyakit berjangkit
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Oktober, 2013: Seramai 48,734 atau 3.6 peratus daripada 1.3 juta pekerja asing berdaftar di negara ini dikesan tidak sesuai bekerja di Malaysia kerana menghidap penyakit berjangkit seperti tibi atau batuk kering, Hepatitis B, sifilis dan HIV/AIDS.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, daripada jumlah, saringan kesihatan dilakukan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) pada tahun lalu, menunjukkan bilangan penyakit tibi adalah tertinggi dengan 18,346 orang atau 38.4 peratus.
Menurutnya, tibi masih penyumbang terbesar penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja asing berdaftar dengan 38.4 peratus daripada 48,734 orang yang gagal dalam saringan pemeriksaan Fomema pada tahun 2012 menghidap penyakit itu.
"Daripada jumlah mereka yang gagal dalam saringan itu juga menunjukkan Hepatitis B adalah kedua tertinggi dengan catatan 14,028 orang atau 29.1 peratus diikuti sifilis 3,516 orang (7.3 peratus) dan HIV/AIDS 186 orang (1.7 peratus)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemeriksaan Dada dan Kesihatan Pekerja Asing anjuran Unitab Medic Sdn. Bhd., di sini hari ini.
Yang hadir sama ialah Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Chong Chee Kheong; Pengerusi Unitab Medic Sdn. Bhd., Tengku Abdullah Sultan Abu Bakar dan Pengerusi Fomema, Jeneral (B) Tan Sri Suleiman Mahmud.
Pada 2011, seramai 24,416 atau 2.6 peratus daripada 93,390 pekerja asing berdaftar yang menjalani pemeriksaan Fomema didapati gagal dan tidak sesuai untuk bekerja di Malaysia, dan daripada jumlah itu, seramai 7,062 (29.9 peratus) dikesan menghidap tibi, Hepatitis B (4,974/20 peratus), sifilis (1,399/5.6 peratus) dan HIV/AIDS (425/1.7 peratus).
Fomema yang diletakkan di bawah pengurusan baharu Unitab Medic Sdn. Bhd. sejak November 2011, adalah syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan dan bertanggungjawab untuk menyelaras dan memantau pemeriksaan saringan perubatan pekerja asing di negara ini.
Subramaniam tidak menafikan Malaysia suatu ketika dahulu berjaya mengurangkan penularan penyakit tibi di negara ini, namun kebanjiran kemasukan pekerja asing secara berdaftar atau haram, kembali menyumbang kepada peningkatan penyakit itu dan anggaran 12 hingga 13 peratus pesakit tibi di negara ini terdiri daripada warga asing. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment