My Add

Friday 30 August 2013

Kerajaan rujuk Peguam Negara

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 *AHMAD Shabery Cheek beramah mesra dengan para peserta yang terlibat dalam raptai penuh bagi sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam. - utusan/DJOHAN SHAHRIN SHAH
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil tindakan tegas dengan merujuk Jabatan Peguam Negara berhubung keputusan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mengharamkan tayangan filem Tanda Putera di negeri itu.

Perkara itu dinyatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang melihat tindakan mengharamkan penayangan Tanda Putera sebagai tidak cerdik, bersifat drastik, berfikiran sempit dan autoritarian.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang meminta pemilik pawagam mempertimbangkan penayangan filem tersebut kerana pemberian lesen perniagaan untuk pawagam tertakluk di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), sebagai berbentuk ugutan.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery melontarkan persoalan kepada Guan Eng sama ada kerajaan negeri akan bertindak menyekat penyiaran filem Tanda Putera daripada menembusi kaca televisyen di negeri itu selepas berjaya berbuat demikian di pawagam dengan kuasa PBT.

''Selepas beberapa ketika, filem ini (Tanda Putera) akan ditayangkan di televisyen atau Astro First atau berbentuk cakera padat digital (DVD). Kita nak tahu apakah langkah mereka untuk mengharamkan orang ramai membuka (menonton) Astro atau televisyen serta wayang pacak, supaya filem itu tak masuk sempadan Pulau Pinang?

''Kita nak tengok apakah langkah-langkah sempit dan tidak cerdik mereka nanti,'' katanya dalam nada sindiran ketika ditemui selepas menghadiri raptai sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang mengharamkan penayangan filem patriotik perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein itu di Pulau Pinang atas arahan Guan Eng.

Filem patriotik berkenaan antara lain mengisahkan tentang perjuangan Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam mentadbir negara serta cabaran yang dihadapi mereka selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Sebelum ini, tayangan filem lakonan Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim yang menelan belanja kira-kira RM4.7 juta itu ditangguhkan beberapa kali ekoran bantahan pembangkang.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, kuasa memberi lesen wajib tayang kepada pawagam untuk menayangkan sesebuah filem adalah tertakluk kepada bidang kuasa Finas.

Walau bagaimanapun jelasnya, kuasa untuk memberi lesen bagi sesebuah pawagam itu dibuka atau dibina adalah di bawah bidang PBT.

''Dengan konflik begini, kita akan melihat dari sudut undang-undang. Kita menghormati undang-undang dan ini perkara baharu orang yang ada sedikit kuasa tetapi menggunakan secara tak rasional terutama sekali dalam mengendalikan sesuatu perkara yang saya rasa mereka tak menontonnya.

''Bahaya kalau mereka ini diberikan kuasa yang lebih besar. Filem ini adalah filem wajib tayang tetapi kalau pawagam berdepan (kuasa) di peringkat PBT, kita akan lihat apakah aspek-aspek perundangan yang perlu kita kendalikan,'' katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment