My Add

Friday 30 August 2013

Tidak perlu haramkan Tanda Putera - Dr. Mahathir 

SHAH ALAM, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Pihak yang mengharamkan tayangan Tanda Putera perlu melakukan perkara sama terhadap filem The New Village.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, masyarakat kini boleh menilai sejauh mana kebenaran sesebuah filem yang ditayangkan dan tidak sepatutnya disekat.

"Jika hendak haramkan Tanda Putera, haramkan kedua-duanya. Kalau mahu tayang, tayang kedua-duanya dan biar masyarakat menilai," katanya kepada pemberita selepas melawat Red Carpet @i-City bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di sini petang ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan Pulau Pinang semalam yang mengharamkan penayangan filem patriotik perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein itu di negeri tersebut.

Pengharaman tayangan filem Tanda Putera itu dibuat atas arahan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng atas alasan babak fitnah yang dipaparkan iaitu adegan pemuda Cina kencing dalam kawasan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor tidak dikeluarkan.

Namun, hari ini Guan Eng telah berdolak-dalik berhubung arahan tersebut dan mendakwa media tersalah tafsir kenyataannya berhubung perkara itu.

Menurut Guan Eng, beliau tidak pernah menghalang pemilik pawagam di negeri ini menayangkan filem berkenaan, sebaliknya sekadar menasihati mereka supaya tidak berbuat demikian.

Filem patriotik arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu antara lain mengisahkan tentang perjuangan Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam mentadbir negara serta cabaran yang dihadapi mereka selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Sebelum ini, tayangan filem lakonan Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim yang menelan belanja kira-kira RM4.7 juta itu ditangguhkan beberapa kali ekoran bantahan pembangkang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment