My Add

Friday 30 August 2013

Jalur Gemilang: Bangunan di KL kurang semangat patriotik

Oleh Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Tinjauan di sekitar ibu negara terutama di kawasan tumpuan pelancong mendapati bangunan komersial masih tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan kemerdekaan ke-56 Sabtu ini.

Rata-rata bangunan terutama kompleks beli-belah kurang mempromosikan sambutan kemerdekaan atau dalam erti kata lain, tidak menunjukkan semangat patriotik yang tinggi.

Namun tidak semua yang hambar kerana ada sebilangan bangunan di sekitar Bukit Bintang di sini rancak mengibarkan Jalur Gemilang dalam menyambut Hari Kemerdekaan.

Dalam meningkatkan kesedaran orang ramai termasuk pelancong mengenai Hari Kemerdekaan, Kumpulan World Band Competition telah mengadakan promosi termasuk mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai di hadapan pusat beli-belah Lot 10.

Sebelum ini, Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim turut melahirkan rasa dukacitanya ekoran kurangnya semangat mengibarkan Jalur Gemilang dalam kalangan masyarakat setempat.

Malah beliau secara sinis turut mengatakan Jalur Gemilang yang dijual tidaklah semahal sekotak rokok.

"Pengibaran Jalur Gemilang merupakan satu cara untuk rakyat negara ini menzahirkan semangat patriotisme dalam diri mereka.

"Masalahnya ialah tiada perasaan dalaman dalam rakyat kita terutama yang sebahagiannya duduk di bandar.

"Kita juga dapati pelajar-pelajar kita tidak terlengkap dengan rasa cinta kepada negara menerusi perlambangan bendera Jalur Gemilang.

"Bendera lambang yang paling mudah dan murah, yakni hanya lapan batang rokok harga satu bendera pun kita tidak boleh kibarkan," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment