My Add

Friday 30 August 2013

IJN rawat jantung cara paracut

Oleh NAWWAR ABDUL RAHIM

* DR. ROBAAYAH Zambahari (dua dari kanan) bersama Dr. Aizai Azan (tengah) menunjukkan alat paracut untuk merawat masalah pesakit jantung dalam sidang akhbar di IJN, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Institut Jantung Negara (IJN) telah menggunakan kaedah terbaharu merawat masalah kegagalan jantung iaitu menggunakan kaedah 'Prosedur Paracut' dengan teknologi terkini tanpa pembedahan yang pertama di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari berkata, pihaknya telah mengenal pasti keberkesanan prosedur dari Amerika Syarikat (AS) itu dan bersetuju menggunakannya di Malaysia sejak Mei lalu.

Beliau menjelaskan, kaedah terbaharu itu dapat membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit yang mengalami masalah jantung yang lemah serta kebengkakan akibat daripada serangan jantung.

"Jantung yang lemah dan bengkak menyebabkan fungsi jantung berkurangan, sehubungan itu pesakit biasanya akan mengalami masalah sesak nafas, keletihan dan kekurangan upaya untuk melakukan aktiviti harian.

"Melalui prosedur ini, paracut atau perangkat tekstil dimasukkan ke dalam aorta melalui paha kanan dan terus ke ventrikal kiri jantung dengan menggunakan alat penghantar kateter sepanjang 110 sentimeter serta bantuan alat ultrasonik serta sinar-X untuk memastikan kedudukan alat tersebut di posisi yang betul.

"Paracut tersebut akan berfungsi sebagai dinding baharu dan digunakan untuk mengecilkan ruang dalam ventrikal kiri jantung yang bengkak supaya dapat berfungsi dengan lebih baik," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Konsultan Kardiologi, Datuk Dr. Aizai Azan berkata, prosedur menggunakan alatan canggih dengan kos RM150,000 itu merupakan satu kaedah rawatan yang unik kerana tidak memakan masa yang lama serta tidak memerlukan pesakit menjalani sebarang proses pembedahan yang rumit.

"Melalui teknologi terkini yang digunakan, prosedur tersebut hanya akan mengambil masa selama satu hingga dua jam dan pesakit pula sudah mampu berjalan beberapa jam selepas menjalani rawatan.

"Pesakit juga akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas dua hari berbanding kaedah pembedahan yang memerlukan pesakit tinggal di wad hospital lebih lama," ujarnya.

Menurut beliau, sehingga kini lebih 164 pesakit dari seluruh dunia telah mendapatkan rawatan jantung melalui kaedah tersebut termasuklah empat rakyat negara ini berjaya menjalaninya kelmarin dan semalam melalui bantuan dana Yayasan IJN. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment