My Add

Friday 30 August 2013

Tentera tak perlu setia pada Presiden

KAHERAH, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Tentera Mesir tidak akan mengangkat sumpah kesetiaan secara langsung kepada Presiden negara ini berdasarkan satu dekri terbaharu yang dikeluarkan oleh kerajaan sementara di sini, semalam.

Berdasarkan dekri itu, anggota tentera akan berikrar dengan ayat 'Saya akan menurut perintah kepemimpinan saya' dan membuang ayat 'Saya akan setia kepada Presiden negara ini'.

Dekri berkenaan dikeluarkan oleh kerajaan sementara pimpinan Presiden Adly Mansour yang mendapat sokongan tentera selepas Presiden Mohammed Mursi daripada pergerakan Ikhwanul Muslimin digulingkan pada 3 Julai lalu.

Jurucakap tentera, Ahmed Ali berkata, perubahan tersebut merupakan perkara yang positif dan mengelakkan anggota tentera daripada membuat sumpah secara peribadi kepada seseorang individu.

"Ikrar baharu itu turut merujuk kepada Presiden yang juga merupakan satu daripada ketua tentera.

"Cara ini menjadikan anggota tentera setia kepada kepemimpinan, bukannya individu," katanya.

Penganalisis berkata, tindakan menggubal dekri tersebut dilihat sebagai cara pihak tentera mendapatkan kebebasan daripada dikawal oleh kerajaan awam.

Profesor dari Universiti George Washington, Nathan Brown mendapati, keputusan menggubal dekri itu sebenarnya berdasarkan kandungan yang diberikan kepada Adly oleh ketua tentera, Jeneral Abdel Fateh al-Sisi.

Katanya, Abdel Fateh turut berkhidmat sebagai Timbalan Presiden dan Menteri Pertahanan dalam kerajaan sementara tersebut.

"Saya tidak fikir semua orang akan percaya perubahan itu dilakukan atas usaha Presiden.

"Dalam erti kata lain, dekri baharu berkenaan merupakan langkah yang dilaksanakan oleh tentera dan hanya diluluskan oleh Presiden sementara," katanya.

Brown berkata, di kebanyakan negara, pihak tentera akan bersumpah taat setia kepada Perlembagaan dan undang-undang.

Namun, katanya, di Mesir, tentera dan pegawainya tidak lagi bersumpah kepada pentadbiran awam, undang-undang atau prosedur. - REUTERS/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment