My Add

Friday 30 August 2013

112,000 pencari kerja daftar online

*NAZIR Hussin Akhtar Husin menunjukkan banner berhubung Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) 2013 dalam sidang akhbar di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Sebanyak 112,000 pencari kerja sudah mendaftar secara online bagi menyertai Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) 2013 September ini.

Pengerusi karnival itu, Nazir Hussin Akhtar Husin berkata, jumlah tersebut sesuatu di luar jangkaan memandangkan karnival berkenaan baru dilancarkan bulan lalu.

Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan penyertaan semua sektor sama ada daripada kerajaan mahupun swasta yang menawarkan kemahiran serta peluang latihan, bimbingan keusahawanan, kaunseling dan pinjaman perniagaan untuk turut serta dalam karnival tersebut.

"Kami yakin sambutan orang ramai khususnya belia terhadap karnival ini akan terus meningkat memandangkan pelbagai penambahbaikan turut dilakukan.

"Antara kelainan yang ditawarkan termasuk sesi kursus serta taklimat daripada pakar motivasi terkenal, Dr. Azizan Osman kepada pemohon yang berminat menjalankan perniagaan secara online," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Pameran kerjaya terbesar itu akan diadakan di Dewan Tun Razak 1, PWTC bermula 27 hingga 29 September ini dan bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehingga kini, terdapat lebih 300 majikan mengesahkan penyertaan dengan menawarkan kira-kira 30,000 pekerjaan sepanjang karnival itu berlangsung.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, karnival itu merupakan platform terbaik bagi siswazah, graduan dan belia yang sedang mencari pekerjaan atau mahu memperoleh jawatan lebih baik termasuk menceburi perniagaan.

"Pameran kerjaya ini juga berperanan sebagai platform bagi golongan belia mendapatkan maklumat jelas dan terkini mengenai inisiatif kerajaan membantu mereka dalam pelbagai bidang termasuk bidang keusahawanan dan peluang perniagaan.

"Ini merupakan salah satu sumbangan Pemuda BN untuk menggalakkan orang muda mencari kerja atau mengintai peluang menjadi usahawan secara komprehensif," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment