My Add

Friday 30 August 2013

Pemilik pawagam keliru

 *SATU notis diletakkan di kaunter jualan tiket di sebuah pawagam di Queensbay Pulau Pinang yang tertera penayangan filem Tanda Putera dibatalkan atas arahan kerajaan negeri Pulau Pinang. - BERNAMA
PULAU PINANG, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Pemilik pawagam di negeri ini seolah-olah masih keliru dengan arahan larangan penayangan filem patriotik Tanda Putera yang ditarik balik kerajaan DAP Pulau Pinang.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pawagam di sini mendapati, poster-poster Tanda Putera yang dibuka semalam selepas menerima surat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) melarang mereka menayangkan filem berkenaan masih belum dipasang semula. 

Menurut salah seorang petugas kaunter pawagam, tiada slot untuk tayangan filem tersebut hari ini.

Dia juga tidak mempunyai maklumat bila filem tersebut akan ditayangkan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini berdolak-dalik berhubung arahan pengharaman filem tersebut seperti diarahkan beliau semalam selepas mendakwa media tersalah tafsir kenyataannya berhubung perkara itu.

Menurut Guan Eng, beliau tidak pernah menghalang pemilik pawagam di negeri ini menayangkan filem berkenaan sebaliknya sekadar menasihati mereka supaya tidak berbuat demikian.

Walau bagaimanapun, hasil tinjauan Utusan Malaysia terhadap surat-surat yang dikeluarkan PBT kepada pemilik pawagam mengenai perkara itu mendapati terdapat percanggahan.

Dalam surat semalam, PBT mengarahkan pemilik pawagam tidak menayangkan filem Tanda Putera kerana mengandungi babak-babak tertentu yang sensitif kepada masyarakat setempat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment