My Add

Friday 30 August 2013

Tawar projek kerajaan tak wujud

Oleh ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Polis sedang memantau beberapa kumpulan sindiket yang menyalahgunakan syarikat bumiputera berdaftar untuk menjalankan kegiatan penipuan dengan menawarkan projek mega kerajaan yang tidak wujud kepada ahli-ahli perniagaan mengakibatkan mangsa mengalami kerugian jutaan ringgit.

Sindiket terancang yang dikesan semakin aktif di seluruh negara terutama di ibu negara, Perak dan Selangor itu cukup licik memperdayakan mangsa dalam kalangan ahli perniagaan, termasuk tokoh politik bergelar Datuk dan Tan Sri dengan berselindung di sebalik penubuhan syarikat yang menggunakan nama bumiputera.

Modus operandi sindiket tersebut adalah mendaftarkan penubuhan sebuah syarikat yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan seperti pembinaan dan mengemukakan kerja cadangan projek kepada kerajaan negeri atau Pusat bagi kelulusan.

Kertas cadangan yang walaupun tidak diluluskan itu kemudian dijadikan modal untuk menjana 'pendapatan' dengan menawarkan beberapa tawaran konsesi kerja kepada ahli-ahli perniagaan bagi membantu membina projek yang sebenarnya tidak pernah wujud.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Tajuddin Md. Isa berkata, tawaran projek bernilai jutaan ringgit itu adalah seperti pembinaan jalan, terowong dan bangunan yang kononnya merupakan projek kerajaan.

Beliau berkata, bagi menyakinkan ahli-ahli perniagaan tentang syarikat mereka, kumpulan sindiket yang mempunyai seorang ketua itu akan melantik beberapa Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat dan sanggup menyewa bangunan pejabat besar dan cantik sehingga empat tingkat berharga ribuan ringgit sebulan.

"Bagi menjaga imej, pengarah syarikat yang dilantik turut disediakan kereta mewah bersama pemandu, manakala pejabat pula mempunyai ramai pekerja termasuk jurutera, akauntan, pegawai perhubungan awam (PRO), setiausaha dan pembantu peribadi.

"Mesyuarat bagi membincangkan projek pula dibuat di hotel bertaraf lima bintang ataupun penthouse dengan jamuan sekali," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, ada sindiket turut melancarkan majlis pecah tanah kononnya bagi tapak projek yang akan dibina dengan menjemput wakil rakyat yang mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan negeri untuk merasmikannya.

Tajuddin berkata, disebabkan yakin dengan kewibawaan syarikat diterajui sindiket terbabit, ramai ahli perniagaan sanggup menyerahkan wang jutaan ringgit sebagai modal untuk menyiapkan projek yang ditawarkan.

"Ahli perniagaan yang menjadi mangsa pula hanya menyedari mereka ditipu setelah gagal melihat projek yang dijanjikan walaupun wang modal sudah dibayar.

"Kebanyakan ahli perniagaan yang menjadi mangsa enggan membuat laporan polis disebabkan malu atau mungkin tidak kisah kerana menganggap wang RM1 juta atau RM2 juta yang dilaburkan itu tidak banyak bagi mereka," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment