My Add

Wednesday 21 August 2013

1,200 CCTV di KL diganti sebelum Disember

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Kira-kira 1,200 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh Kuala Lumpur akan diganti selewat-lewatnya hujung tahun ini kerana kebanyakannya telah usang dan rosak akibat vandalisme.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, bagi tujuan itu, sebuah syarikat kontraktor telah dilantik untuk memasang, mengganti dan menyelia kesemua CCTV itu. Katanya nilai kontrak CCTV baharu itu yang lebih canggih, moden dan berkualiti bagi memastikan kelancaran trafik dan pencegahan jenayah berjumlah kira-kira RM190 juta untuk enam tahun.

"CCTV itu di bawah Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) termasuk lebih 300 unit khas untuk pencegahan jenayah akan dipasang setelah 30 hingga 40 peratus sahaja yang didapati masih berfungsi kerana berusia lebih 10 tahun, selain akibat vandalisme," katanya selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata CCTV bagi tujuan pemantauan dan pencegahan jenayah akan digantikan terlebih dahulu dan disambungkan terus ke semua pejabat polis di Kuala Lumpur.

"Saya telah pun berjumpa dengan syarikat pembekal yang dilantik itu pada dua, tiga hari yang lepas dan mengingatkan mereka untuk memberi keutamaan kepada CCTV yang menghubungkan kepada pihak polis dan menyiapkan kesemuanya sebelum hujung tahun ini.

"Kita juga akan memperlengkapkan CCTV seperti di Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan sistem siar raya agar apabila kita kesan kesesakan lalu lintas berlaku kerana peletakkan kereta contohnya, kita akan dapat membuat pengumuman dan menyiarkan nombor plat kenderaan itu," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment