My Add

Tuesday 20 August 2013

16 pusat e-perolehan dibuka

 *DENGAN adanya UTC Kedah, sCommerce Dot Com Sdn. Bhd. akan memindahkan pusat eP Kedah yang sebelum ini beroperasi di Wisma Persekutuan Anak Bukit ke lokasi baharu ini. - BERNAMA
ALOR SETAR, ISNIN, 19 Ogos, 2013: Sebanyak 16 pusat e-Perolehan (eP), iaitu sistem perolehan tender kerajaan secara dalam talian, telah diwujudkan di seluruh negara bagi memudahkan pihak-pihak berkenaan mendapatkan maklumat mengenai eP.

Dengan adanya pusat ini, Commerce Dot Com Sdn. Bhd. (CDCSB), pemaju, pembina dan pengendali sistem pemerolehan elektronik untuk kerajaan, akan membantu pengguna atau bakal pengguna sistem eP dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti khidmat nasihat mengenai eP, pembayaran, proses medium akses eP dan khidmat latihan eP.

Ketua Pegawai Eksekutif CDCSB, Muzafar Kamal Shahaluddin berkata, pusat eP juga menyediakan perkhidmatan komputer kepada pelanggan yang ingin membuat pendaftaran dan transaksi eP seperti e-Bida, sebut harga, tender, pembelian terus, kontrak pembelian, kontrak pusat dan kontrak kementerian.

"Kami turut memberi panduan dan khidmat nasihat kepada pelanggan yang memerlukan kemudahan infrastruktur untuk mengakses e-Perolehan dan membantu bakal pembekal mendaftar dengan Kementerian Kewangan melalui dalam talian," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat eP di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah di sini.

Selain itu, pusat itu turut dilengkapi dengan kemudahan bilik latihan untuk membolehkan bengkel dan pengajaran diadakan bagi melatih pelanggan dan pengguna memahirkan diri dalam penggunaan sistem eP.

Sistem eP adalah antara aplikasi e-Kerajaan yang diselia oleh Kementerian Kewangan untuk memudahkan urusan perolehan secara elektronik.

Kerajaan telah melantik CDCSB untuk membangunkan sistem ini pada Julai 1999 dan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dalam merevolusi kaedah perolehan tender kerajaan di Malaysia melalui sistem eP.

Menerusi sistem eP, pembekal boleh mempamerkan produk mereka dalam jaringan yang boleh diakses di mana sahaja, selain memudahkan agensi kerajaan membuat pembelian barangan.

Sejak diperkenalkan 13 tahun yang lepas, eP menetapkan standard baru dalam perolehan melalui proses tender. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment