My Add

Thursday 1 August 2013

Atlet Malaysia dinasihat tidak memandu lewat malam

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Berikutan kemalangan jalan raya meragut nyawa pemain hoki kebangsaan Chua Boon Huat hari ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menasihatkan atlet negara tidak memandu lewat malam.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi, berkata ia bertujuan mengelakkan tragedi itu berulang lagi.

"Memang betul kemalangan maut tidak boleh dijangka, ia adalah ketentuan tapi saya mahu menasihat atlet negara supaya tidak memandu pada lewat malam kerana khuatir perkara sama akan terjadi lagi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pemain hoki kebangsaan berumur 33 tahun itu maut dalam satu kemalangan di Lebuhraya Damansara-Puchong, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Sieh menyifatkan kejadian itu sebagai satu kehilangan besar bagi negara dan menambah kata tragedi sama pernah berlaku pada tahun 1988 kepada penjaga gol kebangsaan, mendiang Datuk R Arumugan.

"Saya sedih dengan kehilangan ini kerana beliau (Chua) masih mempunyai harapan cerah dalam industri sukan untuk menaikkan nama skuad hoki kebangsaan kita, tambah pula beliau masih muda dan bertenaga.

Sieh berkata, kemunculan semula Chua dalam skuad hoki negara memberikan nafas baru dengan pengalaman dan ketangkasan yang dimilikinya selepas berehat seketika dalam sukan itu.
Tambahnya, beliau berharap pemain lain akan tetap bersemangat dan mengambil iktibar daripada kisah tragis yang melanda Chua.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong, berkata mendiang bukan sahaja merupakan contoh seorang atlet yang berjaya dalam sukan hoki tetapi sukan lain juga.

"Beliau adalah seorang yang bersungguh-sungguh dalam kerjayanya sebagai seorang atlet di mana beliau tahu serta faham apa tugasnya sebagai seorang atlet sebab itu beliau dapat bertahan lama dalam sukan ini.

"Mendiang juga boleh dikatakan sebagai seorang pemain yang paling cergas dilahirkan dalam skuad hoki negara dan merupakan contoh atlet yang bagus kerana sentiasa mengambil berat tentang kecerdasan di padang," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Chua melalui laman sosialnya.

Beliau dalam akaun twitter dan facebooknya berkata, Chua adalah seorang bintang hoki yang sudah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Khairy juga menyifatkan mendiang sebagai seorang atlet yang cemerlang, berdisiplin, sentiasa positif dan menjadi inspirasi kepada pemain-pemain muda dalam skuad hoki negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment