My Add

Monday 26 August 2013

Bekas perunding Yayasan Guru terlepas tuduhan pecah amanah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Seorang bekas perunding sebuah yayasan guru menarik nafas lega hari ini apabila Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan pecah amanah melibatkan 498,000 unit saham P&O (Pacific & Orient Berhad) bernilai RM1.5 juta, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin juga mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap Mohd Nasir Abd Rahman selepas membenarkan rayuannya.

Dalam penghakimannya, Mohd Azman berkata mahkamah mendapati pertuduhan terhadap Mohd Nasir adalah cacat kerana dalam pertuduhan itu Mohd Nasir dinyatakan sebagai ejen sedangkan dia adalah seorang perunding yayasan itu.

"Mahkamah mendapati bahawa yayasan berkenaan telah memberi persetujuan untuk Mohd Nasir menyimpan saham-saham tersebut sebagai 'save keeping' dan yayasan itu turut bersetuju untuk saham-saham tersebut sebagai cagaran melalui memorandum pindah saham.

"Tiada elemen kesalahan pecah amanah, oleh itu pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Saya ketepikan pertuduhan terhadap tertuduh, dan melepas serta membebaskannya daripada pertuduhan," katanya.

Pada 8 Februari 2011, Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Rozana Ali Yusoff menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Mohd Nasir selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mohd Nasir didakwa pecah amanah saham itu ketika bertugas sebagai perunding Yayasan Pemodalan Guru Kebangsaan Berhad (kini dikenali sebagai Yayasan Guru Malaysia Berhad). 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Keluarga Sdn Bhd Suite 901, Tingkat 9, Pernas International, Jalan Sultan Ismail, di sini, antara Oktober 1995 dan Disember 1995 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mazlan Jamaludin manakala Mohd Nasir diwakili peguam V. Ravichandran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment