My Add

Thursday 1 August 2013

Bomba Kelantan pantau jalan berisiko kemalangan sempena Aidilfitri

PASIR PUTEH, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan akan melakukan rondaan di beberapa jalan utama yang dikenal pasti berisiko berlaku kemalangan di seluruh negeri, sempena musim perayaan kali ini.

Pengarahnya, Azmi Osman, berkata pemantauan akan dijalankan selama 18 hari bermula hari ini, terutamanya ketika lebih sejuta rakyat Kelantan dijangka pulang menyambut Aidilfitri, pada hujung minggu.

"Antara jalan yang dipantau termasuk laluan Gua Musang-Kuala Krai, Pasir Puteh-Kuala Terengganu, Pasir Mas-Rantau Panjang dan Jeli-Tanah Merah," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Ops Raya peringkat negeri di Bukit Yong di sini, petang semalam.

Majlis dirasmikan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman.

Menurut Azmi, seramai 573 anggota sudah bersiap sedia untuk mengadakan rondaan pada siang dan malam bagi memberi pertolongan kecemasan jika berlaku kemalangan.

Azmi berkata, semua aset bomba negeri, termasuk 16 kereta penyelamat dan tiga motosikal berkuasa tinggi yang dilengkapi peralatan menyelamat akan digerakan bagi melancarkan operasi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment