My Add

Tuesday 20 August 2013

Dua lelaki ditahan cuba jual LPG, tawar rasuah

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Ogos, 2013: Dua lelaki termasuk pemandu lori syarikat pembekal gas petroleum cecair (LPG) ditahan bersama 5,000 liter LPG yang dipercayai cuba dijual secara haram kepada pihak industri, di kawasan parkir bas di Sungai Buaya, Rawang, dekat sini malam tadi.

Mereka juga bakal berdepan tindakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menawarkan suapan RM2,000 kepada pegawai penguat kuasa yang terbabit dalam operasi pukul 11.30 malam itu.

Ketua Penolong Kanan Penguasa SPRM Putrajaya, Mohd Yussof Zakaria berkata jika sabit kesalahan, suspek berusia 28 dan 40 tahun itu boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

"Kedua-dua mereka ditahan ketika memindahkan silinder mengandungi 5,000 liter LPG bernilai RM2,000 dari lori pembekal ke sebuah lori lain," katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Menurutnya kegiatan dua lelaki terbabit diintip oleh bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan antara tiga hingga lima bulan lepas, sebelum melancarkan operasi itu.

"Mereka sepatutnya menghantar gas LPG kepada pembekal atau kilang-kilang sebenar, tetapi dikesan berhenti sekejap untuk memindahkan sedikit daripada gas itu ke lori lain untuk dijual kepada pembeli haram," katanya.

Kes itu juga akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment