My Add

Monday 5 August 2013

E- Perolehan catat transaksi lebih RM60 bilion sejak dilancar 1999

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Sistem perolehan kerajaan secara dalam talian, e-Perolehan, mencatatkan lebih 1.5 juta transaksi dengan nilai melebihi RM60 bilion, sejak aplikasi itu dilancarkan pada 1999, kata Ketua Penolong Pengarah Unit ePerolehan Kementerian Kewangan Wan Azhar Zaihan Wan Ahmad.

Beliau berkata kerajaan juga berjaya menjimatkan sehingga RM27 juta setakat 2012 melalui modul e-bidding e-Perolehan yang berasaskan bidaan terbalik yang melibatkan pembekal membida sesama mereka untuk memberikan harga terendah untuk produk atau perkhidmatan yang diperlukan kerajaan.

"Transformasi yang telah kita lakukan dari proses secara manual kepada secara dalam talian merupakan anjakan yang besar kepada perolehan kerajaan," katanya dalam temu ramah dengan Radio 24 Bernama bertajuk "Transformasi Sistem ePerolehan" di sini.

Beliau berkata melalui sistem e-Perolehan, pembekal boleh mempamerkan produk mereka dalam jaringan yang boleh diakses di mana sahaja selain memudahkan agensi kerajaan membuat pembelian barangan.

Melihat kepada kejayaan sistem ePerolehan, satu sistem baharu turut dibangunkan yang dipanggil "NextGen e-Perolehan", yang akan digunakan mulai Januari 2015.

"Setelah 12 tahun, kita rasa, adalah masa yang tepat untuk menggantikan sistem e-Perolehan sedia ada.

"Sistem baru ini direka untuk memberi nilai tambah kepada penggunanya dengan menyokong program transformasi kerajaan ke arah sistem yang lebih efisen," katanya.

Wan Azhar berkata perubahan yang dilakukan kepada sistem e-Perolehan adalah seiring dengan perubahan teknologi yang pantas dan keperluan pengguna yang sentiasa berubah.

"Kita perlu memenuhi keperluan mereka sebab itu kita fikirkan sekarang kita perlu bangunkan sistem baharu yang lebih baik untuk menggantikan sistem sedia ada.

"Ini kerana sistem sedia ada lebih bersifat operasi manakala sistem baru akan bersifat perolehan yang lebih strategik.

"Itu adalah antara sebab kenapa kita perlu lakukan satu lagi anjakan ke arah penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih baik," katanya.

Semasa menerangkan dengan lebih lanjut, beliau berkata NextGen e-Perolehan akan mengurangkan modul perolehan daripada tujuh sekarang ini, untuk memudahkan pengguna mempelajari sistem berkanaan.

"Kita cuba ringkaskan dan mungkin pada masa akan datang, akan ada hanya satu atau dua modul sahaja dan pengguna hanya perlu belajar satu atau dua modul sahaja. Prosesnya lebih ringkas dan memudahkan pengguna," katanya.

Katanya, pengguna boleh melayari www.eperolehan.gov.my untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut atau mendaftar dengan Kementerian Kewangan sebagai pembekal.

E-Perolehan adalah aplikasi yang dibangunkan kerajaan di mana agensi kerajaan dan pembekal berurusan secara dalam talian untuk melaksanakan perolehan kerajaan bagi peruntukan bekalan dan perkhidmatan.

Antara modul perolehan kerajaan yang terkandung dalam e-Perolehan adalah modul kontrak pusat, kontrak kementerian, pembelian terus, sebut harga, tender dan e-bidding. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment