My Add

Tuesday 27 August 2013

Eksport nanas Malaysia ke China 10 kontena setiap bulan

JOHOR BAHRU, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Malaysia akan mengeksport produk tanaman nanas ke China dengan jumlah permulaan sebanyak 10 kontena berukuran 40 kaki persegi setiap bulan mulai tahun hadapan, berikutan terdapat permintaan yang tinggi dari negara tersebut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, jumlah itu akan meningkat kepada 100 kontena sebulan menjelang 2015 apabila keluasan kawasan penanaman nanas bertambah sebanyak 7,000 hektar kepada 22,000 hektar berbanding 15,000 hektar sedia ada.

"Ladang nenas seluas 7,000 hektar itu dijangka mengeluarkan hasil pada 2015 dan jumlah itu tidak termasuk 202.42 hektar di Rompin, Pahang yang diperuntukan bagi Tanaman Nanas Bersepadu Rompin. Untuk itu kita sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan China.

"Kita sebenarnya sedang meneliti dan memperhalusi keperluan-keperluan yang ditetapkan oleh China di samping membuat persediaan bagi memenuhi permintaan nanas untuk negara tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Lembaga Perindustrian Nanas (LPN) Malaysia, di Wisma Nanas, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi LPN yang baharu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Shamsol Bari Jamali dan Ketua Pengarah LPN, Shahdan Salim. Pada majlis itu, Ismail turut menyampaikan duit raya kepada 24 anak yatim dari Sekolah Kebangsaan Kompleks UDA 2.

Menurut Ismail Sabri, beliau juga akan menyuarakan perkara tersebut dalam Persidangan Menteri-menteri Pertanian ASEAN termasuk India, China, Jepun dan Korea Selatan yang diadakan di ibu negara pada September ini.

Ujar beliau, bagi memenuhi keperluan eksport nanas yang selama ini ke Singapura dan Asia Barat, kementerian bercadang menambah keluasan tanaman nanas dengan mengharapkan setiap kerajaan negeri menyumbang tanah untuk tanaman nanas yang sedikit masa dulu pernah menjadi komoditi negara selain getah.

"Pada tahun ini, kementerian menjangkakan pengeluaran nanas negara adalah sebanyak 343,000 metrik tan dan menjelang 2015, ia dijangka meningkat kepada 535,000 metrik tan," katanya lagi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment