My Add

Friday 2 August 2013

Guna undang-undang sedia ada

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY

 * MUHYIDDIN Yassin menyampaikan sumbangan RM204,000 kepada wakil Pertubuhan Nur Ehsan Negeri Johor sambil diperhatikan oleh Mohamad Khaled Nordin dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Timbalan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada , Johor Bahru, semalam. Hadir sama Abdul Mutalip Abdul Rahim (kiri). - BERNAMA
JOHOR BAHRU, KHAMIS, 01 Ogos, 2013 Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan tidak akan menunggu penggubalan akta baharu untuk menangani peningkatan kadar jenayah sebaliknya akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, langkah itu termasuk menggunakan kerangka undang-undang Akta Pencegahan Jenayah (1959) yang sudah tersedia dalam sistem perundangan negara tetapi tidak diguna pakai dalam kadar segera.

Beliau menambah, kerajaan tidak pernah memandang ringan masalah jenayah dalam masyarakat dan Kabinet sentiasa membincangkan kepentingan pelaksanaan langkah lebih tegas dan berani dalam membendung aktiviti jenayah.

"Malah, semalam Kabinet turut membincangkan pentingnya langkah meningkatkan penguatkuasaan dan kawalan terhadap penyeludupan senjata api di kawasan sempadan. Kawasan sempadan kita agak panjang dan luas, mungkin ada tempat-tempat yang dibolosi pihak tidak bertanggungjawab yang membawa masuk senjata api," katanya.

Beliau berucap dalam majlis berbuka puasa bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri dan UMNO Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abdul Mutalip Abdul Rahim, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan barisan Exco kerajaan negeri serta pemimpin UMNO Bahagian.

Menurut Muhyiddin, beliau juga telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala selaku Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) melihat semula Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Kadar Jenayah.

Tambahnya, kerajaan sebelum ini berjaya membanteras jenayah jalanan seperti kes ragut dan akan mengkaji untuk memberi tumpuan terhadap masalah jenayah serius dalam NKRA tersebut.

"Kita serius dalam usaha ini termasuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan jumlah pegawai yang lebih terlatih di samping meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dalam masa terdekat ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment