My Add

Friday 2 August 2013

Jangan jadikan isu Kuin mainan politik - Mukhriz

ALOR SETAR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Kerajaan negeri Kedah meminta semua pihak bersabar dan tidak menjadikan isu yang melibatkan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sebagai mainan politik.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kerajaan negeri sedang menyelesaikan masalah-masalah yang melanda Kuin dan perkara itu akan mengambil sedikit masa.

"Kita cuba nak selesaikan masalah yang melanda Kuin tanpa unsur politik, apa yang kita cuba lakukan sekarang ini ialah selesaikan satu persatu perkara yang timbul dalam Kuin.

"Saya dapati pihak sana (pakatan pembangkang) cuba pertahankan sesuatu yang ditolak oleh majoriti besar warga Kuin," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di bazar Ramadan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Beliau mengulas demonstrasi yang diadakan di kampus Kuin di Kuala Ketil baru-baru ini bagi membantah perpindahan pelajar Kuliyyah Muamalat ke kampus Kuin di Mergong.

Menurut Mukhriz, pihaknya telah menerima memorandum daripada pihak yang membantah perpindahan pelajar Kuliyyah Muamalat itu dan mendapati perkara yang dibangkitkan oleh pihak tersebut adalah perkara-perkara yang sedang ditangani oleh kerajaan negeri secara berperingkat.

"Seperti yang semua maklum kerajaan negeri ini ialah kerajaan yang perlu jaga kepentingan seluruh rakyat Kedah, banyak benda kita perlu buat bukan hanya nak jaga sebilangan pelajar yang tak puas hati nak kena pindah dari Kuala Ketil.

"Saya dapati apa yang diusulkan oleh pihak yang membantah perpindahan ini serta perkara-perkara yang mereka bangkitkan memang kita sedang tangani satu persatu, dari segi kemudahan kelas di Mergong, kemudahan penginapan juga sedang kita diatasi sebaik mungkin," jelasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga dari semasa ke semasa akan mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil pelajar bagi menerangkan kedudukan Kuin kepada mereka.

"Kita terangkan apa kerajaan negeri cuba lakukan di Kuin, ada perkara belum kita dapat perhalusi dan akan makan masa sikit. Saya minta bersabar sikit dalam bulan puasa ini sambil kita cuba selesaikan satu persatu," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, pihaknya meminta kerajaan Pusat mengkaji semula undang-undang baru bagi menggantikan semula Ordinan Darurat (EO) 1969 yang telah dimansuhkan.

"Sekarang ini kita hanya boleh ambil tindakan bila jenayah dah jadi, saya harap kerajaan Pusat boleh kaji semula undang-undang bagi gantikan semula Ordinan Darurat (EO) 1969," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment