My Add

Sunday 25 August 2013

Kaji pakej insentif koperasi

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

JITRA, SABTU, 24 Ogos, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengkaji semula pakej insentif yang ditawarkan kepada sektor koperasi supaya selaras dengan agenda transformasi negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi melonjakkan sumbangan sektor berkenaan dalam pertumbuhan ekonomi negara agar terus berkembang dan meningkatkan daya maju menerusi penglibatan dalam aktiviti bernilai tinggi serta berskala besar.

Beliau berkata, kerajaan amat mengutamakan kajian semula pakej insentif tersebut bagi memastikan koperasi terus diberikan peluang saksama untuk menceburi pelbagai bidang perniagaan yang baharu dan meningkatkan rantaian nilai sedia ada.

"Ini bertujuan memastikan gerakan koperasi turut sama menyumbang kepada agenda transformasi negara," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Hari Koperasi Negara 2013 di Dataran Darul Aman di sini hari ini.

Yang hadir sama, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek dan Timbalannya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri Besar Perlis, Azlan Man; Presiden Angkatan Koperasi Malaysia Bhd. (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah serta beberapa menteri Kabinet.

Hari Koperasi Negara itu berlangsung selama tiga hari sehingga esok dengan bertemakan 'Koperasi Pemangkin Kesejahteraan Masyarakat', antara lain sebagai medan untuk menghebah dan menunjukkan kepada masyarakat mengenai peranan serta aktiviti diceburi koperasi.

Menurut Muhyiddin, koperasi memainkan peranan utama sebagai penjana pertumbuhan ekonomi, entiti perniagaan kompetitif, organisasi bantu diri yang efektif serta peka dan proaktif terhadap persekitaran.

Dalam pada itu, beliau meminta SKM dan Maktab Koperasi Malaysia supaya membuat kajian terperinci mengenai kemungkinan untuk menaik taraf setanding dengan kolej universiti sekali gus menjadi pusat kecemerlangan koperasi.

Beliau percaya Maktab Koperasi Malaysia yang kini berusia 57 tahun, mampu memainkan peranan lebih berkesan untuk membangunkan kapasiti modal insan dalam meningkatkan persaingan gerakan koperasi negara.

"Ini adalah penting untuk kita laksanakan agar gerakan koperasi di negara kita setanding dengan koperasi-koperasi berjaya di negara lain seperti National Federation of Agriculture Co-operative di Jepun," katanya.

Muhyiddin berkata, SKM perlu menjadi sebuah agensi regulatori yang kukuh dan mantap untuk mengawal selia serta membangunkan koperasi-koperasi di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment