My Add

Friday 2 August 2013

Kawal penyebaran fahaman Syiah

Oleh FAIZAH IZZANI

 * JAMIL Khir Baharom (kiri) bersama Abdul Azeez Abdul Rahim (tengah) dan Ismee Ismail melihat antara barang keperluan yang bakal digunakan jemaah haji pada Majlis Penghargaan Sahabat Korporat Lembaga Tabung Haji, di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Penyebar fahaman Syiah di negara ini boleh dikenakan tindakan di bawah dua peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kedua-dua undang-undang itu sudah diguna pakai dan ada pihak yang didapati menyebar fahaman Syiah di beberapa negeri telah dikenakan tindakan mengikut enakmen tersebut sebelum ini.

"Akta ini berjalan, bahkan ia bukan sahaja dibicarakan di Mahkamah Syariah tetapi juga Sivil. Walau bagaimanapun, saya setuju bahawa kita patut melihat ruang yang lebih mendalam untuk memastikan Syiah tidak berkembang dan tidak disebarkan dalam kalangan umat Islam sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penghargaan Sahabat Korporat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang turut dihadiri Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

Jamil Khir berkata, kerajaan pernah mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati menyebar fahaman Syiah di Selangor di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1999.

Namun setelah ISA dimansuhkan katanya, dua enakmen tersebut boleh digunakan untuk dilaksanakan terhadap mereka yang menyebar fahaman Syiah di negara ini.

Katanya, penyebaran fahaman Syiah di negara ini telah difatwakan haram oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan sebanyak dua kali iaitu pada 1984 dan 1996.

Beliau berkata, kerajaan juga bersedia untuk terus memperkasakan undang-undang sedia ada dari semasa ke semasa selepas ISA dimansuhkan bagi menyekat penyebaran fahaman yang dilihat merbahaya kepada umat Islam hari ini.

Jamil Khir berkata, kerajaan sendiri sentiasa mengambil tindakan memperjelaskan mengenai bahaya fahaman Syiah di negara ini melalui peranan media massa serta jabatan-jabatan agama di semua negeri.

"Kita buat melalui saluran televisyen TV Al-Hijrah, Radio Ikim.fm serta beberapa saluran lain, jelaskan mengenai bahaya fahaman ini. Selain itu, jabatan-jabatan mufti di setiap negeri, contoh di Wilayah Persekutuan kita buat kaunseling kepada mereka terlibat selain di Kedah ada buat roadshow untuk terangkan tentang fahaman ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment