My Add

Wednesday 21 August 2013

Kelantan perlu bekerjasama banteras penyeludupan dadah
Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU, RABU, 21 Ogos, 2013: Kerajaan negeri Kelantan diminta terus memberikan kerjasama kepada kerajaan Persekutuan untuk menangani kegiatan penyeludupan dadah di negeri itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kedua-dua pihak harus mengenepikan perbezaan politik dan perlu berbincang bersama untuk mengatasi masalah ini yang semakin meningkat pada setiap tahun.

Menurut beliau, sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand terdapat kira-kira 150 pangkalan haram milik penduduk tempatan yang tidak dikawal dan menjadi penghubung untuk menyeberangi sempadan itu serta menyeludup dadah.

"Sempadan Kelantan tiada halangan fizikal seperti Perlis dan Kedah, jadi kita perlu lihat ini sebagai perkara yang perlu ditangani secepat mungkin walau polis dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) telah mengambil tindakan yang boleh dibanggakan tetapi masih mempunyai ketirisan disebabkan tiada halangan fizikal.

"Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob untuk fikir bagaimana kawasan rizab sungai ini dapat digunakan untuk membanteras penyeludupan dan saya juga berharap kerajaan negeri tidak melihat kerjasama ini dari kesan politik tetapi kesan keselamatan terutama dadah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Klinik Cure & Care 1Malaysia di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa semalam. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment