My Add

Thursday 1 August 2013

Kerajaan kaji opsyen dasar untuk kukuh kedudukan fiskal, makro - Najib

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ofos, 2013: Kerajaan sedang mengkaji pelbagai opsyen dasar bagi mengukuhkan kedudukan fiskal dan makro negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kami memahami mengenai perlunya untuk mengukuhkan kedudukan itu," katanya pada sidang media mengenai pengenalan jenama ikon baharu 'Pasaran Kewangan Islam Malaysia', di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai respons kepada kebimbangan Fitch Ratings terhadap simpanan awam dan reformasi belanjawan berstruktur yang memerlukan reformasi bagi menstabilkan unjuran kredit.

Agensi penarafan itu menyemak semula unjuran penarafan kredit negara Malaysia daripada stabil kepada negatif manakala mengesahkan mata wang asing dan tempatan jangka panjang Malaysia, masing-masing pada ‘A-’ dan ‘A’.

Najib berkata pengesahan ke atas mata wang asing dan tempatan jangka panjang negara itu merupakan sesuatu yang positif, manakala semakan bergantung kepada langkah yang akan dilakukan oleh kerajaan.

"Saya menganggapnya baik untuk kita memandangkan ia menandakan mereka bimbang, dan kami akan berusaha untuk menanganinya.

"Butiran sebenar akan diumumkan dalam tempoh terdekat terutama dalam belanjawan akan datang," katanya.

Najib sebelum itu mempelawa komuniti kewangan global untuk tampil dan memanfaatkan pasaran kewangan Islam Malaysia dan menyuarakan harapan untuk menyaksikan lebih banyak transaksi pelbagai mata wang merentas sempadan.

Beliau berkata tugas itu kini bergantung kepada peserta dan pemaju pasaran untuk membangunkan dan memacu industri dan meningkatkan perhubungan untuk merancakkan pasaran kewangan Islam global.

"Malaysia sudah membangunkan Pasaran Kewangan menyeluruh yang telah semakin berkembang sejak lebih 30 tahun.

"Tahap kemajuan dalam Pasaran Kewangan Islam Malaysia yang terbuka kepada dunia merupakan kemuncak usaha berterusan komuniti industri kewangan Islam kami," katanya.

Najib berkata kewujudan kawal aturan, pemantauan dan rangka kerja perundangan Syariah di Malaysia menawarkan persekitaran yang sangat kondusif untuk pengguna kewangan Islam yang berpotensi.

Beliau berkata kepakaran, produk inovatif, dan pengurusan sudah disediakan dalam Pasaran Kewangan Islam Malaysia.

"Platform kekayaan kewangan Islam disediakan untuk penggunaan di seluruh dunia : dalam perbankan, sukuk, ekuiti, takaful, takaful semula, pengurusan kekayaan. pembangunan bakat dan perkhidmatan sokongan profesional," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment