My Add

Monday 19 August 2013

Keselamatan pelajar diutama

Add caption*SEORANG anggota tentera mengacukan senjatanya ke arah orang ramai ketika membantu seorang pengikut Ikhwanul Muslimin meninggalkan Masjid al-Fatah di Kaherah, Mesir, semalam. - AFP
KUALA LUMPUR, AHAD, 18 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keselamatan pelajar Malaysia di Mesir adalah keutamaan paling atas.

Perdana Menteri dalam tweetnya berkata, kerajaan akan mengambil segala langkah perlu untuk membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

Najib dilapor telah mengarahkan supaya dibuat persiapan bagi membawa pulang pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Mesir memandangkan pergolakan serius di negara itu sekarang.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan dan Wisma Putra di Mesir telah mewujudkan safe home (kediaman selamat) bagi memudahkan pemindahan keluar pelajar Malaysia apabila keadaan memerlukan.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, safe home adalah bagi memudahkan pelajar Malaysia dibawa keluar sekiranya keadaan memerlukan.

"Safe home ini diwujudkan sekiranya perlu kita mengeluarkan mereka (rakyat Malaysia) dengan serta merta. Perancangan dan persiapan telah ada,'' katanya ketika ditemui dalam satu majlis di Batu Caves, dekat sini, hari ini.

Sehubungan itu, Kamalanathan berkata, pelajar dan rakyat Malaysia di sana hendaklah sentiasa menghubungi wakil Wisma Putra di Mesir bagi mengetahui lokasi safe home tersebut.

"Kita sudah ada pengalaman sekali (membawa pulang pelajar Malaysia) dan kita akan menggunakan pengalaman itu,'' katanya.

Kerajaan melancarkan Ops Piramid pada 2011 bagi memindahkan rakyat Malaysia ketika Mesir dilanda demonstrasi jalanan bagi menjatuhkan bekas Presiden Hosni Mubarak.

Kamalanathan berkata, Kementerian Pendidikan kini menunggu maklum balas dari Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar bagi melaksanakan operasi membawa rakyat Malaysia keluar dari Mesir.

"Paling penting pelajar kita di Mesir hendaklah menghubungi dengan wakil Wisma Putra di sana dan saya menasihatkan supaya jangan masuk campur dalam hal ehwal politik negara lain,'' katanya.

Krisis di Mesir semakin memuncak apabila tercetus pertempuran antara pihak berkuasa keselamatan dengan ribuan penyokong bekas Presiden Mesir Mohammed Mursi yang digulingkan pasukan keselamatan menyebabkan ramai yang terkorban dan ribuan lain cedera. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment