My Add

Saturday 24 August 2013

Konflik Mesir bakal berpanjangan

 SEBAHAGIAN rakyat yang menentang rampasan kuasa berarak sambil menunjukkan tanda empat sebagai simbolik membantah kekejaman di Masjid Rabiatul Adawiyah di Hayyu Thamin, Nasr City, Kaherah, semalam.
KAHERAH, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Konflik politik Mesir dijangka terus meruncing dengan semakin ramai memilih ke jalanan, terutama dengan kedudukan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang di ambang pembebasan daripada beberapa tuduhan jenayah.

Malah, bantahan besar-besaran yang bermula pukul 3 petang, selepas solat Jumaat hari ini iaitu 9 malam waktu Malaysia bukan sahaja disertai golongan pro-Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi seperti kebiasaannya tetapi turut melibatkan kumpulan lain yang menentang cubaan membebaskan Mubarak.

Gesaan menyertai himpunan besar-besaran itu dilakukan secara agresif menerusi media sosial dengan di Kaherah sahaja terdapat sebanyak 25 lokasi himpunan yang menjadi sasaran kumpulan antikerajaan.

Sementara itu, seorang rakyat Mesir, Hani Mohmed Isa, 41, yang ditemui berkata, pembebasan Mubarak jika berlaku pasti akan membangkitkan lagi kemarahan rakyat negara itu.

Katanya, jika selama ini golongan pro-Mursi sahaja yang berada di jalanan, namun, perkembangan semasa akan membuatkan lebih ramai turut menyertai perhimpunan.

Katanya, walaupun akan menyebabkan keadaan politik Mesir tidak stabil, rakyat kebanyakannya tidak mempunyai pilihan.

"Kami akan tetap bantah sebarang ketidakadilan pemerintah sekarang. Kami hanya mahukan kebenaran biar pun keamanan Mesir dipertaruhkan.

"Saya sendiri bukan penyokong mana-mana kumpulan, tetapi saya tidak boleh menerima apa yang berlaku dan bantahan ini akan terus memuncak jika benar Mubarak dibebaskan," katanya.

Sementara itu, rakannya, Ahmad Romi, 30, berkata, dia tidak melihat konflik politik Mesir mampu berakhir dalam masa terdekat.

Katanya, ini terutama jika Mubarak dibebaskan kerana tindakan itu akan mengundang kemarahan pelbagai pihak.

"Selain soal Mubarak, ramai mahukan kepimpinan yang dipilih menerusi demokrasi. Rakyat telah buat keputusan. Memang keadaan sekarang cukup sukar.

"Saya tidak tahu apa akan berlaku esok tetapi kami tiada pilihan kerana kita mahukan kebenaran. Meskipun keadaan sekarang tidak baik untuk ekonomi, namun kami bersedia menghadapi apa saja situasi," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment