My Add

Thursday 22 August 2013

Konsert merdeka Malaysia-Indonesia di Dataran Merdeka Ahad

PUTRAJAYA, KHAMIS, 22 Ogos, 2013: Sempena sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia dan Indonesia, buat julung kalinya satu konsert "Harmony & Unity" yang menampilkan persembahan artis terkemuka dari kedua-dua negara akan diadakan di Dataran Merdeka di ibu kota Ahad ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tarikh 25 Ogos dipilih kerana ia terletak antara tarikh sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini dan Indonesia pada 17 Ogos lepas.

Beliau berkata, konsert anjuran KKMM Malaysia dan Indonesia dengan sokongan syarikat Telekomunikasi Indonesia International (Malaysia) Sdn Bhd (Telin Malaysia) itu akan menampilkan persembahan artis tersohor dari Indonesia iaitu Rossa dan Ahmad Dhani, manakala artis dari Malaysia terdiri Amy Search, Siti Nurhaliza dan Ella.

Konsert yang bermula pada kira-kira pukul 8.45 malam itu akan disiarkan secara langsung di saluran RTM1, dan saluran televisyen Indonesia, Indosiar, katanya dalam sidang media pada sambutan Majlis Sambutan Hari Raya KKMM di Dataran Gemilang, di sini hari ini.

Turut hadir pada persidangan media itu ialah Timbalannya Datuk Jailani Johari, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Anggota Lembaga Pengarah PT Telekomunikasi Indonesia Ririek Adriansyah, serta beberapa pegawai Telin Indonesia.

Shabery berkata, Telin Malaysia, yang merupakan usahasama antara syarikat Bumiputera Compudyne Sdn Bhd dan Telekomunikasi Indonesia adalah bukti kerjasama akrab antara dua negara.

Beliau berkata, objektif kerjasama itu adalah untuk menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik bagi komuniti Indonesia di Malaysia dan juga orang ramai yang sering berulang alik di antara kedua-dua negara.

Ririek pula berkata, syarikat itu akan melancarkan produk SIM kad prabayar telefon pada hujung September ini, khusus untuk kemudahan komunikasi orang ramai di dua negara. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment