My Add

Tuesday 27 August 2013

Kontraktor Melayu sentiasa berpeluang agenda pembangunan: Azlan

KANGAR, SELASA, 27 Ogos, 2013: Kontraktor Melayu sentiasa diberi peluang menyertai agenda pembangunan negeri namun mereka perlu sentiasa bersedia bersaing dalam pasaran yang mencabar, kata Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

Beliau berharap kontraktor Melayu sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan mereka untuk mengambil bahagian dalam apa jua projek pembangunan yang dilaksanakan.

Berucap pada majlis jamuan Aidilfitri Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perlis bersama anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim Mak Teh dekat sini malam tadi, beliau memberi jaminan kontraktor Melayu tidak dipinggirkan dalam apa jua agenda pembangunan negeri.

Azlan juga berharap para kontraktor Melayu tidak saja memburu peluang mendapatkan kontrak tetapi juga turut melaksanakan program khidmat sosial korporat (CSR) termasuk mengadakan kegiatan bersama anak-anak yatim.

Sebelum itu, Yang Dipertua PKMM Negeri Perlis, Syed Zuber Syed Ali berkata pihaknya sentiasa seiring dengan kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mengadakan program CSR dalam pelbagai bentuk dan perkara itu akan dapat direalisasikan dengan lebih mudah jika kontraktor Melayu diberi ruang yang lebih luas untuk melaksanakan projek di negeri ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perlis, Rela Ahmad dan Timbalan Presiden PKMM pusat, Datuk Che Wan Mohd Khalid Mohammad.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment