My Add

Tuesday 13 August 2013

Kutip derma di tempat awam cemar nama baik tahfiz

PUTRAJAYA, SELASA, 13 Ogos, 2013: Kegiatan mengutip derma di tempat awam yang didakwa dilakukan pelajar sekolah tahfiz mencemar nama baik institusi itu sebagai tempat mempelajari dan menghafaz al-Quran.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Pelajar-pelajar Tahfiz Malaysia (Tahfiz) Datuk Mustapa Othman berkata kegiatan itu dipercayai tidak dilakukan oleh sekolah tahfiz, sebaliknya didalangi pihak lain yang menggunakan nama sekolah itu.

"Tetapi mereka menggunakan nama sekolah tahfiz untuk mengutip derma, sekali gus merosakkan nama sekolah tahfiz. Mereka inilah yang meminta bantuan di stesen minyak dan pasar malam," katanya kepada Bernama.

Beliau berharap pihak berkuasa bertindak tegas untuk membanteras kegiatan itu yang dilihat semakin berleluasa.

Bagaimanapun, beliau berkata pertubuhan itu bersimpati sekiranya ada pelajar sekolah tahfiz yang diarah mengutip derma untuk menampung pembiayaan sekolah.

"Ada yang menyalahgunakan anak-anak ini untuk sara sekolah. Pelajar-pelajar ini dihantar oleh ibu bapa untuk belajar al-Quran, bukan kutip derma untuk menyara sekolah," kata Mustapa.

Dalam konteks ini, beliau berkata semua sekolah tahfiz perlu berdaftar dengan pertubuhan itu atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

"Ia bagi memudahkan pemantauan dibuat terhadap aktiviti serta pembelajaran di sekolah berkenaan supaya ia selaras antara satu dengan lain, selain mengelak berlakunya aktiviti tidak sihat ini," tegasnya.

Apabila mendaftar dengan pertubuhan itu, sekolah tahfiz juga akan dibantu dari segi kewangan.

Mereka diminta menghubungi pertubuhan itu secepat mungkin untuk pendaftaran.

Tiga puluh sekolah tahfiz telah pun berdaftar dengan pertubuhan itu setakat ini, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment