My Add

Thursday 22 August 2013

Maritim untung RM19 bilion, 55,000 pekerjaan pada 2020 - PM

PELABUHAN KLANG, KHAMIS, 22 Ogos, 013: Sektor maritim negara dijangka mencapai sehingga RM19 bilion dari segi keuntungan dan memberi lebih 55,000 peluang pekerjaan pada tahun 2020, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yakin industri ini dapat meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kemampuan bukan sahaja dalam industri automotif petroleum tetapi merintis kepada industri pembinaan kapal berteknologi tinggi.

"Pembinaan kapal dredger (korek) Inai Kenanga boleh diklasifikasikan sebagai projek berimpak tinggi," kata beliau pada majlis pelancaran kapal terbesar di Asia dan yang ketiga terbesar di dunia itu di sini hari ini.

Inai Kenanga dibina oleh Selat Melaka Shipbuilding Corporation Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Inai Kiara Sdn Bhd dengan kos hampir RM1 bilion dan harga pasaran RM1.2 bilion.

Najib berkata, pembinaan kapal ini selaras Pelan Transformasi Ekonomi negara dan projek permulaan kerana ia memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara khususnya dalam usaha kerajaan mentranformasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa mencari, mengenal pasti dan membangun sektor yang mempunyai potensi yang besar.

"Sektor maritim khususnya yang melibatkan kerja-kerja pembinaan kapal dan penyelenggaraan kapal adalah satu daripada industri yang diberi keutamaan oleh kerajaan," kata Perdana Menteri.

Najib berkata, pelabuhan di dalam dan luar negara yang besar dan efisen sangat memerlukan kapal yang sebegini besar.

Menurut laporan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) bagi Industri Maritim 2013, kerajaan mengunjurkan industri pembaikan, pengeluaran dan pembinaan kapal mencapai keuntungan lebih RM7 bilion. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment