My Add

Saturday 10 August 2013

Northport terus tingkat pelaburan

Oleh FADZIL ZAINOL

PELABUHAN KLANG, JUMAAT, 09 Ogos, 2013: Pengendali pelabuhan milik Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Northport (Malaysia) Bhd. (Northport) mahu mengutamakan prestasi perniagaannya untuk jangka panjang, berbanding penumpuan terhadap pencapaian tahunan semata-mata, termasuk tahun 2013 yang dilihat begitu mencabar kepada mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abi Sofian Abdul Hamid mengakui operasi Northport tahun ini sedikit lembap kerana penyusutan trafik kontena (teu) yang dikendalikan di pelabuhan mereka, berbanding tahun lalu.

Setakat separuh tahun pertama ini, jumlah teu yang dikendalikan mereka berjumlah 1.5 juta buah iaitu penurunan lima peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Jelasnya, perkara itu berpunca akibat kelembapan ekonomi di Eropah serta eksport di kalangan negara-negara serantau termasuk China yang agak perlahan.

"Apapun, syarikat masih terus melabur bagi meningkatkan kapasiti pelabuhan untuk keperluan pada masa hadapan.

"Saya percaya persekitaran ekonomi akan kembali berkembang dengan baik. Aktiviti kami amat bergantung kepada prestasi semasa ekonomi negara," katanya kepada Utusan Malaysia.

Tahun ini juga, Northport menyasarkan pendapatan berjumlah RM650 juta yang dilihat agak konservatif berbanding pencapaian tahun 2012 sebanyak RM663 juta.

Syarikat pelabuhan itu telah membelanjakan sebanyak RM500 juta untuk membina dermaga 8A atau terminal kontena keempat, yang bakal beroperasi September ini.

Pembinaan dermaga baharu itu membolehkan mereka meningkatkan kapasiti teu kepada lebih 500,000 teu dalam setahun. Syarikat ketika ini boleh mengendalikan hampir lima juta teu dalam tempoh setahun.

Northport juga dilaporkan untuk melabur sehingga RM1 bilion.

Northport merupakan salah satu pengendali pelabuhan di Pelabuhan Klang selain daripada Westports Malaysia Sdn. Bhd. (Westports) yang diketuai atau dimiliki oleh Tan Sri G. Gnanalingam bersama anaknya dan ahli perniagaan Hong Kong, Ka-shing Li.

Apapun, prestasi pengendalian kargo konvensional yang berkembang hampir 30 peratus menjadi pengubat duka kepada Northport. Setakat enam bulan pertama tahun 2013, mereka mengendalikan 5.02 juta berat pengangkutan dalam tan (FWT).

Kargo konvensional bermaksud barangan yang tidak dibawa menggunakan kontena. Antara barangan yang biasa dibawa menerusi kaedah ini ialah kenderaan, produk makanan haiwan dan haiwan serta cecair atau minyak.

Berhubung cadangan pembinaan pelabuhan ketiga oleh Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), Abi Sofian berkata, prasarana terbaharu itu penting namun keperluannya hanya mendesak dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Katanya, namun, pihaknya bersedia mengambil peranan sebagai pengendali pelabuhan ketiga itu terutama sekali untuk meningkatkan kapasiti operasi Northport.

"Kami gembira jika diberikan peranan untuk mengendalikan pelabuhan itu. Namun setakat ini, perkembangannya masih di peringkat awal dan tiada gambaran jelas mengenainya," kata beliau lagi.

Northport ketika ini mempunyai ruang pengendalian kontena antara kapal dan darat sepanjang 2,679 meter, manakala Westports mempunyai ruang sepanjang 4,000 meter.

Berdasarkan kelebihan itu, tahun 2012, Westports menguasai hampir 69 peratus trafik teu di Pelabuhan Klang dengan 6.91 juta teu, sementara Northport mengendalikan 3.09 juta teu dengan penguasaan 31 peratus.

Bagaimanapun, kecekapan kedua-dua pelabuhan itu boleh dianggap sekadar memuaskan dengan tahap penggunaan terminal kontena masing-masing hanya sekitar 65 peratus berbanding kemampuan sebenar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment