My Add

Sunday 25 August 2013

Nyalakan semula semangat patriotisme - Lam Thye

KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: - Seluruh rakyat Malaysia digesa supaya menyalakan semula semangat patriotisme dan memperkukuhkan keazaman mereka bagi bersatu menghadapi apa jua kemungkinan bagi mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah di negara ini.

Ahli Pemegang Amanan Yayasan 1Malaysia, Tan sri Lee Lam Thye berkata, ini bertujuan bagi mengelakkan kejadian pencerobohan seperti yang berlaku di Lahad Datu, Sabah berulang semula.

"Insiden pencerobohan Lahad Datu awal tahun ini jelas membuktikan apa yang akan terjadi di negara kita seandainya tidak wujud semangat patriotisme, terutamanya yang melibatkan anggota keselamatan yang diamanahkan untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

"Sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini, harus dijadikan sebagai satu kuasa penyatuan untuk merapatkan rakyat pelbagai bangsa bersama-sama untuk mencapai matlamat yang sama serta mengukuhkan asas sebagai sebuah negara yang bersatu padu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu tambah Lam Thye, semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik perlu mengetepikan perbezaan politik mereka dan memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti yang dapat membantu menyatupadukan rakyat.

"Sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan sukarela, belia dan pertubuhan agama juga boleh membantu untuk menganjurkan acara yang boleh menyumbang kepada pembinaan dan pembangunan perpaduan.

"Namun demikian, tidak bermakna jika aktiviti membina perpaduan hanya dijalankan semasa sambutan hari kemerdekaan, sebaliknya, usaha ke arah mengalakkan dan mempromosikan perpaduan harus berterusan kerana perpaduan dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia perlu dipupuk dan digalakkan pada setiap masa," katanya.

Sementara itu, beliau turut berharap supaya Rukun Negara terus dijadikan asas bagi membentuk perpaduan di negara ini.

"Prinsip ini Rukun Negara telah membolehkan Malaysia menyatupadukan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan membentuk prinsip kenegaraan dan sepatutnya diterap dalam generasi muda yang merupakan pemimpin masa depan negara

"Rukun Negara adalah panduan kita untuk membina negara dan seharusnya dihormati oleh semua. Ia merupakan satu wawasan yang dikongsi bersama untuk perpaduan negara dan prinsip ini hendaklah sentiasa dipelihara dan diamalkan oleh semua rakyat dengan ditauladani oleh pemimpin kerajaan," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment