My Add

Monday 19 August 2013

Ops Piramid sedia bawa pulang bila-bila masa

Oleh HANIZA HASSAN

PONTIAN, AHAD, 18 Ogos, 203: Kementerian Pertahanan bersedia untuk membawa pulang rakyat Malaysia termasuk 3,300 penuntut negara ini yang berada di Mesir pada bila-bila masa sahaja.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah tersebut bergantung kepada arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang sentiasa membuat pemantauan terhadap perkembangan negara bergolak itu.

Hishammuddin vberkata, Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab telah berlepas ke Mesir pagi tadi dan akan menyampaikan maklumat terkini secara berterusan tentang perkembangan di sana setiap satu jam.

"Pemantauan setiap satu jam itu membolehkan pihak kami berada dalam keadaan bersiap sedia bagi melancarkan Ops Piramid pada bila-bila masa sahaja.

"Melalui maklumat terkini itu juga kita boleh mengetahui mana-mana kawasan yang panas atau sebaliknya bagi memastikan tahap keselamatan rakyat Malaysia sentiasa terjamin dan sehingga kini mereka dilaporkan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri dan Rumah Terbuka Parlimen Pontian di Benut yang dihadiri kira-kira 5,000 pemimpin dan penduduk setempat, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri serta ADUN Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri.

Tambah Hishammuddin, pihaknya turut bersedia dari segi logistik dan pengangkutan untuk membawa pulang mereka ke tanah air dengan beberapa syarikat penerbangan telah menawarkan diri untuk membantu.

"Menyediakan kaedah untuk membawa mereka pulang adalah di dalam bidang tugas Kementerian Pertahanan dan Pengangkutan namun kita tunggu keputusan pihak yang terbabit mengenai status keselamaan rakyat kita di sana," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment