My Add

Friday 2 August 2013

Periksa kesihatan pemandu bas

Oleh ROZIANAH RISMAN

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Pemeriksaan kesihatan termasuk saringan air kencing ke atas pemandu bas ekspres akan dijadikan sebagai sebahagian prosedur operasi standard (SOP) bermula tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, langkah baharu itu penting bagi memastikan kesediaan dan tahap kesihatan pemandu dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

Tambah beliau, pendekatan itu juga mengambil kira kebanyakan kemalangan melibatkan bas ekspres berlaku disebabkan faktor kesihatan pemandu.

Menurutnya, sekiranya pemandu yang diperiksa didapati mengalami masalah kesihatan seperti demam, pemandu berkenaan tidak dibenar memandu dan tugasnya akan diambil alih pemandu lain.

"Kita akan mengarahkan setiap syarikat bas ekspres menyediakan sekurang-kurangnya lima peratus pemandu tambahan sebagai persediaan sekiranya terdapat pemandu yang tidak sihat," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur (UTC KL) di Pudu Sentral sini hari ini.

Tambah Ab. Aziz, langkah baharu itu akan dilaksana dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan dikuatkuasakan setiap bulan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan bas di sebanyak 82 depot syarikat dan 30 terminal bas utama di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri ini.

Menurutnya, pemeriksaan itu bertujuan memastikan bas sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan khususnya pada bahagian tayar dan brek.

"Kita turut melaksanakan larangan terhadap pemanduan kenderaan barangan sebelum dan selepas Aidilfitri iaitu pada 6, 7, 17 dan 18 Ogos ini.

"Langkah ini bagi memberikan keselesaan kepada pemilik kenderaan persendirian yang melalui perjalanan jauh pulang ke kampung masing-masing," katanya.

Mengulas penjualan tiket bas sempena Aidilfitri, beliau berkata, tiket bas menuju ke Utara masih boleh didapati memandangkan kerajaan telah meluluskan penambahan bas. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment