My Add

Sunday 25 August 2013

Presiden Afrika Selatan tiba untuk lawatan rasmi

SEPANG, AHAD, 25 Ogos, 2013: Presiden Afrika Selatan Jacob Gedleyihlekisa Zuma tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 5.15 petang bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.

Ketibaan Zuma, yang dilantik Presiden pada 2009, disambut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin.

Beliau diiringi isterinya, Nompumelelo Ntuli-Zuma dan Menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan.

Tujuan lawatan itu adalah bagi mempertingkat hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Zuma dijangka mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya Isnin ini diikuti mesyuarat dua hala.

Beliau juga dijadual menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Afrika Selatan manakala Najib akan menganjurkan makan malam rasmi bagi merai lawatan Zuma ke Malaysia.

Zuma, yang akan menerima anugerah Doktor Kehormat Kepimpinan Kemanusiaan daripada Universiti LimKokWing, dijangka menghadiri taklimat oleh FELDA dan IRIS Corporation. 

Presiden Zuma jugga dijadual menerima 'Lifetime Campaigner for Global Peace Award' bagi pihak bekas Presiden Nelson Mandela daripada Yayasan Keamanan Global Mahathir.

Ini adalah lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik Presiden Afrika Selatan pada 2009 meskipun pernah ke negara ini pada 1999 dan 2002 bagi menghadiri Dialog Antarabangsa Langkawi.

Pada 2003, Zuma menyertai Persidangan Keamanan Dunia semasa menjadi Timbalan Presiden Afrika Selatan dan lawatan kali keempat ke Malaysia jelas mencerminkan hubungan dua hala yang baik serta erat antara kedua-dua negara.

Sementara itu, isteri beliau, Ntuli-Zuma dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan melawat PERMATA Pintar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment