My Add

Friday 23 August 2013

Produk susu Danone Dumex Malaysia disahkan selamat

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Produk Nutricia Karicare Stage 1 Infant Formula dan Nutricia Karicare Stage 2 Follow-on Formula keluaran syarikat Fonterra Ltd. dari New Zealand yang disyaki tercemar dengan bakteria Clostridium botulinum disahkan tidak dieksport ke negara ini.

Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd. Othman berkata, pengesahan itu dibuat pihak berkuasa New Zealand yang menyatakan produk terbabit hanya dipasarkan di negara berkenaan.

"Sehubungan itu, semua produk susu keluaran syarikat Danone Dumex Malaysia adalah selamat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, syarikat Danone Dumex Malaysia menarik balik secara sukarela beberapa produk susu keluaran mereka yang disyaki tercemar dengan Clostridium botulinum yang boleh menyebabkan keracunan sebagai langkah berjaga-jaga.

Noraini berkata, Kementerian Kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas kilang pemprosesan syarikat Danone Dumex Malaysia dan hasil pemeriksaan mendapati semua produk keluaran syarikat tersebut melalui sistem jaminan keselamatan makanan dan langkah-langkah pengawalan berkesan.

Tambahnya, semua bahan mentah yang digunakan mempunyai sijil analisis daripada pembekal dan syarikat menjalankan analisis bagi setiap kumpulan bahan mentah untuk memastikan bahan mentah tersebut selamat. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment