My Add

Tuesday 20 August 2013

Rayuan Seksualiti Merdeka gagal

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA, ISNIN, 19 Ogos, 2013: Penganjur program Seksualiti Merdeka 2011 gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mendapatkan kebenaran bagi membatalkan keputusan polis yang mengharamkan semua program dan acara Seksualiti Merdeka pada tahun itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Clement Allan Skinner yang bersidang bersama Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof dan Datuk David Wong Dak Wah memutuskan demikian selepas menolak rayuan lima ahli jawatankuasa program tersebut.

Perayu-perayu ialah Pang Khee Teik, 39; K.T. Angela Marianne, 49; S. Thilaga, 26; Siti Zabedah Kasim, 50, dan Md. Nor Ismat Selamat, 30.

Kuorum berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 1 Mac tahun lalu yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka selepas membenarkan bantahan Peguam Negara.

Mahkamah berpuas hati bahawa Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar ketika itu bertindak dalam bidang tugasnya sewaktu mengharamkan penganjuran program tersebut bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap laporan polis yang dibuat pelbagai pihak.

Panel tersebut berpendapat, Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah daripada segi undang-undang sewaktu menolak permohonan semakan kehakiman mereka.

Dalam penghakiman itu, Hakim Datuk Rohana Yusuf berpendapat polis berkuasa menghentikan program tersebut demi keselamatan negara memandangkan sebanyak 28 laporan polis telah dibuat oleh kumpulan penganut agama Islam, Kristian dan Buddha.

Pada 9 Disember 2011, perayu-perayu memfailkan permohonan tersebut antaranya bagi memohon perintah untuk membatalkan serta-merta keputusan polis yang dibuat pada malam 3 November 2011.

Mereka juga memohon perintah agar pihak responden mengemukakan semua laporan polis yang dibuat berhubung penganjuran acara Seksualiti Merdeka.

Mereka berkata, Khalid membuat keputusan itu berikutan salah faham atau kejahilannya tentang satu fakta kukuh sedangkan acara berkenaan tidak digunakan untuk melakukan kegiatan menyeleweng, yang boleh mengakibatkan timbulnya keadaan tidak harmoni.

Selain Khalid, mereka menamakan Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supritendan Nor Azman Mohd. Yusof dan Ketua Polis Negara masing-masing sebagai responden pertama hingga ketiga.

Responden-responden diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan manakala perayu-perayu oleh peguam Honey Tan Lay Ean.

Khalid pada tarikh tersebut telah mengisytiharkan pengharaman ke atas semua program dan acara Seksualiti Merdeka dan perkara itu disiasat mengikut Seksyen 27 A(1)(C) Akta Polis 1967 dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Ini kerana undang-undang negara ini tidak mengiktiraf kegiatan songsang yang boleh menghancurkan amalan kebebasan beragama selain boleh mewujudkan permusuhan dan mengancam keselamatan negara.

Pengharaman tersebut menyebabkan lima ahli jawatankuasa program itu memfailkan permohonan itu kerana mereka mendakwa tidak diberi peluang untuk didengar dan memberikan pandangan sebelum keputusan dibuat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment