My Add

Thursday 22 August 2013

Syabu RM3.89 juta ditampas di terminal bas di Alor Setar

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR

ALOR SETAR, KHAMIS, 22 Ogos, 2013: Helah seorang lelaki untuk membawa dadah jenis syabu ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas di Terminal Bas Shahab Perdana di sini tidak kesampaian apabila dia ditahan pasukan Kastam Unit Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Kedah Selasa lalu.

Lelaki warga tempatan berumur 43 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi dan pemeriksaan mendapati lelaki tersebut membawa 20 ketulan mampat berbalut pita pelekat berwarna coklat yang mengandungi hablur kristal putih disyaki dadah jenis syabu.

Pengarah Kastam Negeri Kedah, Datuk Abd. Aziz Abdul Latif berkata, dadah seberat 20.497 kilogram yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM3,894,430.

"Ketulan dadah tersebut diletakkan di dalam beg yang di bahagian atasnya ditutup dengan dua beg pakaian dan di dalam beg tersebut tidak mengandungi sebarang pakaian.

"Kita masih menyiasat dari mana dadah ini diambil dan ke mana lelaki itu mahu memasarkan dadah yang dibawa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, bapa kepada dua orang anak yang baru pulang dari Thailand pada hari yang sama itu telah ditahan dan direman sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, penganggur ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan hukuman mati mandatori.

"Kita juga masih menyiasat sama ada lelaki ini terlibat dengan sindiket pengedaran dadah ataupun tidak dan siasat sekiranya dia mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Tambahnya, bagi tahun ini, rampasan tersebut adalah yang terbesar dan pertama kali ditahan di Terminal Bas Shahab Perdana. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment