My Add

Sunday 25 August 2013

Tambah peruntukan luar bandar

SEREMBAN, SABTU, 24 Ogos, 2013: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berharap peruntukan luar bandar dapat ditambah sejajar dengan sokongan ditunjukkan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau telah menyatakan hasrat itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rundingan mengenainya sedang dijalankan antara para pegawai kementerian beliau dengan Kementerian Kewangan.

"Saya hendakkan supaya peruntukan dapat kita susun atur dengan sebaik mungkin supaya ia setimpal dengan keperluan masyarakat luar bandar yang selama ini telah memberi sokongan yang cukup padu kepada kerajaan BN.

"Kawasan luar bandar merupakan kekuatan kita pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Maka dengan itu saya telah minta supaya ia harus diselaraskan daripada segi pembelaan dan pembangunan yang ada di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Cawangan Kampung Kubang, Labu, dekat sini hari ini.

Beliau menarik perhatian, penambahan peruntukan itu banyak bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan terutamanya ketika keadaan ekonomi dunia makin mencabar.

"Jika hasil negara meningkat, maka sudah pasti peruntukan khususnya di kementerian saya akan turut meningkat. Harapan saya, peruntukan luar bandar akan dapat dipertingkatkan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shafie berkata, Ketua Setiausaha (KSU) kementeriannya akan menjelajah ke seluruh negeri yang belum mempunyai Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) untuk mengenal pasti tempat atau bangunan untuk dijadikan pusat berkenaan.

"Kita akan tumpukan dahulu di kawasan yang kita yakin memerlukan RTC. Pembinaan RTC banyak bergantung kepada kerjasama kerajaan negeri.

"Antara negeri yang telah mempunyai RTC adalah Melaka, Perak, Kelantan dan Pahang manakala di Negeri Sembilan, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti tapak dan tempat yang sesuai," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment