My Add

Sunday 25 August 2013

'100 hari yang mencabar'

KUALA LUMPUR, SABTU, 24 Ogos, 2013: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan tempoh sepanjang 100 hari mengetuai kementerian itu sebagai sesuatu yang mencabar lebih-lebih lagi memegang portfolio yang sering menjadi perhatian umum.

Namun, menurut Ahli Parlimen Kota Belud itu, semua cabaran itu dapat diatasi dengan baik dengan bantuan warga kementerian dan berjanji akan meningkatkan kemampuan dan potensi dari semasa ke semasa.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha kementerian, Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha, pegawai-pegawai tertinggi dan warga kementerian seluruhnya kerana telah bersama-sama dengan saya dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Beliau ditemui dalam Majlis Aidilfitri Korporat Kumpulan Utusan yang julung kali diadakan di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Bhd. di Jalan Chan Sow Lin, di sini semalam.

Menurut Abdul Rahman, beliau buat masa ini akan menumpukan perhatian kepada Bengkel Inisiatif Menurunkan Harga Rumah atau 'makmal rumah' yang dilancarkan semalam bagi mengkaji isu-isu tentang penurunan dan pengawalan harga rumah.

"Selepas habis makmal perumahan, kita akan tumpukan perhatian pula kepada dua atau tiga perkara besar lain dalam beberapa bulan akan datang.

"Antara lainnya berkenaan perkhidmatan pelupusan sampah atau sisa pepejal. Kita akan lihat bagaimana hendak memperbaiki lagi perkhidmatan tersebut sebab ada beberapa isu yang perlu diselesaikan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment