My Add

Sunday 25 August 2013

Masa depan ekonomi digital bergantung pada tahap penggunaan ICT - Najib

KUALA LUMPUR, SABTU, 24 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata masa depan ekonomi digital di Malaysia akan banyak bergantung kepada bagaimana negara membangunkan, memupuk dan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Perdana Menteri berkata beliau percaya teknologi digital dan gaya hidup digital akan menjadi faktor pembeza yang akan membawa Malaysia ke tahap baru kejayaan, kesejahteraan dan pengiktirafan global.

"Saya dapat lihat bahawa terdapat begitu banyak lagi yang kita boleh terokai dan lakukan untuk meningkatkan penggunaan inovatif jalur lebar dan ICT," katanya semasa melancarkan Ekspo Gaya Hidup Digital Malaysia 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Cara orang menjalankan perniagaan, melakukan perjalanan dan melancong, mentadbir, mendidik dan belajar telah melalui transformasi yang pesat dan menyeluruh, semuanya kerana ICT, katanya pada majlis itu yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Perdana Menteri berkata ICT dan jalur lebar akan semakin menjadi sebahagian kehidupan harian rakyat Malaysia dan menurutnya penembusan jalur tidak lagi menjadi perkara penting yang mutlak.

"Apa yang penting di masa depan ialah ICT dan jalur lebar akan digunakan oleh rakyat Malaysia untuk apa," katanya.

Beliau menjelaskan sebab itu kenapa kerajaan membuat pelaburan besar untuk memastikan pelbagai perkhidmatan kerajaan dilakukan secara dalam talian atau online.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan anugerah Broadband Empowered Entrepreneur (BEE) 2013 kepada lapan usahawan online cemerlang yang mendapat manfaat daripada Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan.

Anugerah itu mengiktiraf pencapaian cemerlang usahawan kecil yang berjaya membangunkan dan melakukan transformasi terhadap perniagaan konvensional mereka daripada 'offline' kepada 'online'.

Penerima anugerah termasuk usahawan rumpai laut Kabilah Abdul Hassan, Hiral Doshi (aksesori fesyen), Maryanne Low (pakaian wanita) dan Zaidi Awang (kekabu). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment