My Add

Tuesday 20 August 2013

4 lelaki didakwa curi barangan RM786,000

 * EMPAT lelaki (tunduk kepala) yang didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mencuri pelbagai barangan berharga bernilai RM786,000 kepunyaan pemilik sebuah resort bergelar Datuk di Bachok pada 26 Jun lalu di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU, ISNIN, 19 Ogos, 2013: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencuri pelbagai barangan berharga bernilai RM786,000 kepunyaan pemilik sebuah resort bergelar Datuk di Bachok pada Jun lalu.

Zuki Omar, 33; Abd. Malik Ismail, 29; Ibrahim Abdullah, 23, dan Mohamad Asri Mat Jusoh, 37, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Mohd. Yusoff Yunus.

Keempat-empat tertuduh secara bersama didakwa melakukan perbuatan tersebut setelah memecah masuk calet di resort milik Datuk Siti Hamidah Hamat, 55, kira-kira pukul 2 pagi, 26 Jun lalu.

Dalam kejadian itu, mereka didakwa mencuri sebentuk cincin solitarie berlian seberat empat karat, rantai leher platinum bersama ibu loket berlian jenama Chopard, jam tangan platinum berlian jenama Chopard, cincin berlian bertulis 1673, telefon bimbit Samsung S4 dan mata wang Amerika Syarikat berjumlah AS$10,000 (RM33,000).

Mereka turut dituduh mencuri gelang berlian, cincin zamrud, anting-anting platinum bertingkat tiga, anting-anting nilam biru bersama berlian, pasport antarabangsa, anak kunci peti deposit CIMB, barangan mekap, komputer riba, tablet Samsung Galaxy dan gelang swarovski milik mangsa.

Dakwaan terhadap tertuduh-tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Mohd. Yusoff membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, Abd. Malik turut didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menjual barangan yang dicuri kepada seorang lelaki di Takbai, Thailand.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Nik Habri Muhamad kemudian menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusoff dan Noor Dayana Mohamad. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment