My Add

Tuesday 20 August 2013

Pemilihan semula CEC: DAP diingatkan jangan heret PM

PULAU PINANG,  ISNIN, 19 Ogos, 2013: DAP diingatkan agar tidak mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sebarang kemelut yang melanda parti itu.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, ingatan itu disuarakan berikutan Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng dilihat cuba melakukan provokasi dengan menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri mampu mengatasi undang-undang negara.

Tegas beliau, pemimpin kanan DAP itu harus sedar bahawa tiada warganegara ini yang mampu mengatasi perundangan Malaysia.

"Sepatutnya kalau Guan Eng pemimpin yang bertanggungjawab, beliau saman Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebaik sahaja menerima surat bertarikh 14 April lalu yang menyatakan badan itu tidak mengiktiraf kesemua ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) parti itu yang dilantik melalui pemilihan Disember lalu.

"Tetapi anehnya mengapa sekarang baharu keputusan ROS itu mahu dicabar di mahkamah dan dalam masa sama mengheret komitmen Perdana Menteri? Inilah sikap hipokrit Guan Eng yang selalu melakukan provokasi politik bagi meraih simpati rakyat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Guan Eng mendakwa DAP tidak akan teragak-agak mencabar keputusan ROS itu melalui semakan kehakiman jika Perdana Menteri memberi jaminan badan itu tidak akan membatalkan pendaftaran parti tersebut sekiranya perkara terbabit dibawa ke mahkamah.

Rahmad dalam pada itu menambah, pihaknya melihat kesediaan DAP mengadakan pemilihan semula itu seakan-akan cuba menafikan hak ahli parti sekiranya tetap mengekalkan senarai calon Disember lalu dalam pemilihan kali ini.

"Jika benar itu hasrat DAP, kita percaya biar apa pun keputusan pemilihan itu, keluarga Lim akan tetap selamat, sekali gus mengekalkan jawatan yang mereka sandang ketika ini dan perpecahan akan berlaku di dalam parti.

"Mungkin ini cara DAP menunjukkan protes terhadap ROS sehingga sanggup menggadaikan maruah parti yang kononnya demokrasi," katanya.

Sehubungan itu, katanya, persoalan sama ada lapan calon Melayu yang bertanding dalam pemilihan lalu akan terus diberi tempat dalam pemilihan kali ini juga mulai timbul dan diperkatakan.

"Kalau dinilai melalui pemilihan yang diadakan hujung tahun lalu itu, KMPP merasakan adakah rasional sekiranya semua lapan calon Melayu terlibat menarik diri dan tidak bertanding dalam pemilihan semula ini.

"Biar DAP secara mutlak dilabel sebagai parti cauvinis dan rasis memandangkan pemimpin veteran Melayu parti berkenaan boleh diibaratkan seperti 'habis madu sepah dibuang' kerana inilah hakikat sebenar yang sedang berlaku dalam parti yang kononnya berbilang kaum itu," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment