My Add

Thursday 15 August 2013

5 lelaki menyamar polis, Rela, imigresen diburu

GEORGE TOWN, KHAMIS, 15 Ogos, 203: Polis sedang mengesan lima lelaki yang menyamar sebagai anggota penguat kuasa dan menyamun 18 warga asing di sebuah rumah kongsi di Lebuhraya Batu Maung, Bayan Lepas di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Hatta Md Zin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.30 malam apabila kumpulan tersebut 'menyerbu' rumah kongsi itu dan mengarahkan kesemua pekerja asing berkenaan berkumpul di luar sebelum mereka menggeladah rumah itu atas alasan untuk pemeriksaan.

"Tiga daripada suspek masing-masing memakai jaket berlambang Rela (Ikatan Relawan Rakyat), polis dan imigresen manakala dua orang lagi berpakaian biasa," katanya kepada pemberita semasa menghadiri program Kepolisan Berprofil Tinggi bersama penduduk dan mangsa kebakaran di Sungai Nibong Tengah hari ini.

Hatta berkata, mereka kemudian merompak wang tunai dan 28 telefon bimbit yang bernilai kira-kira RM12,000 sebelum meninggalkan lokasi dengan motosikal dan kereta.

Seorang suspek didakwa membawa gari dan pistol, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 170 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan menyamar sebagai penjawat awam.

Pada program tersebut, Hatta menyampaikan barangan dapur sumbangan Tabung Kebajikan Anggota Polis Daerah Barat Daya kepada 16 keluarga yang terbabit dalam kebakaran itu Sabtu lepas.

Dalam kejadian berkenaan, 16 buah rumah papan musnah dijilat api yang mengakibatkan lebih 80 orang penghuninya tinggal sehelai sepinggang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment