My Add

Thursday 15 August 2013

Obama tidak menekan Malaysia

Oleh FADZIL ZAINOL
 
 * KETUA Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah (dua dari kanan) bersama Timbalannya, Datuk Mat Noor Nawi (dua dari kiri), Ketua pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali (kiri) dan Mohd. Ridzal Sheriff pada majlis taklimat media mengenai GES 2013 di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 14 Ogos, 2013: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke Malaysia pada Oktober depan, tidak dianggap sebagai cubaan beliau memberi tekanan kepada negara ini supaya menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohd. Ridzal Sheriff berkata, Obama hadir ke Malaysia adalah semata-mata untuk menyertai satu persidangan yang akan diadakan, dan bukannya berkaitan dengan TPPA.

Pelbagai pertubuhan yang menentang pembentukan TPPA sebelum ini mendakwa, niat sebenar Presiden AS itu mahu ke sini adalah untuk mengambil hati atau memberi tekanan kepada Malaysia supaya mempersetujui kesemua syarat-syarat asas di dalam perjanjian itu.

Usaha itu sekali gus membolehkan kesemua 12 negara termasuk Malaysia dapat memuktamadkan pembentukan TPPA secepat mungkin yang dijangka pada Oktober ini.

Sebaliknya, Mohd. Ridzal berkata, penentuan penyertaan dalam perjanjian itu adalah berlandaskan persetujuan bersama oleh kesemua negara anggota TPPA terhadap syarat asas yang diletakkan, termasuk apa yang diminta oleh Malaysia.

"Perbincangan TPPA masih diteruskan dan tidak ada ketetapan tarikh yang mesti dituruti," katanya kepada Utusan Malaysia pada sidang akhbar bagi menguar-uarkan penganjuran Persidangan Keusahawanan Antarabangsa 2013 ke-4 (GES 2013), di sini hari ini.

GES 2013 akan berlangsung selama dua hari pada 11 dan 12 Oktober depan yang akan turut disertai oleh Obama.

Ia akan menjadikan kunjungan kedua Presiden AS ke Malaysia sejak kali terakhir dilakukan oleh Lyndon B. Johnson pada 1966.

GES merupakan program yang menghimpunkan kumpulan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang diperkenalkan oleh AS dengan sasaran penganjuran diadakan di negara-negara Islam.

Sebelum ini, GES telah diadakan di AS, Turki dan Dubai. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment